Print

 

HEGEMOMI DAN KERUNTUHAN UMNO  

KEPUTUSAN PRU ke-14 (2018) menjadi titik-tolak keruntuhan UMNO/BN setelah dominasi kuasa (hegemoni) menunjukkan kermerosotan sejak PRU ke-12 (2008). Ekoran prestasi buruk itulah pada PRU ke-13, diramalkan dapat ‘ditalqinkan’ tetapi UMNO/BN ‘masih bernafas dalam situasi hampir kritikal’, hanya memenangi 133 daripada 222 kerusi yang dipertandingkan. Mulai PRU ke-12, undi popular juga menunjukkan penurunan di mana UMNO/BN mampu berpuas hati dengan 49 peratus dan seterusnya pada PRU ke-13 dengan 47.38 peratus.

Episod tersebut tidak digunakan oleh UMNO untuk melaksanakan reformasi dalaman dan perubahan gaya kepimpinan sehinggalah parti itu dimusnahkan oleh budaya warlord dan operasi seperti syarikat sendirian berhad menjelang PRU ke-14 dan lebih ketara PRU ke-15. Walaupun berlaku perubahan pucuk pimpinan, ia tidak dapat mengembalikan keyakinan akar umbi bahkan pada PRU ke-15, berlaku penolakan besar-besaran pengundi Melayu. Pada PRU ke-15, Zahid mencantas ramai pemimpin UMNO yang ‘mampu menang’ termasuk Shahidan Kassim di Arau, Perlis; Noh Omar di Tanjung Karang, Selangor; Ismail Mutalib di Marang, Pahang dan Annuar Musa di Ketereh,  Kelantan.

Shahidan dan Ismail bertanding atas tiket Perikatan Nasional. Shahidan menang dengan majoriti manakala Ismail dengan majoriti 1,821. 23,216 undi. Kemenangan Shahidan dilihat sebagai faktor memberikan kemenangan besar kepada PN di Perlis di mana PAS berjaya menawannya. PN juga hampir menyapu bersih Kedah, Kelantan dan Terengganu. PAS menjadi pencabar terbesar di Pahang dan BN mampu berkuasa kerana adanya kerjasama dengan PH. Hal yang sama berlaku di Perak.

Secara jelasnya, undi popular UMNO/BN merosot kepada 22.36 peratus jauh dibelakang PH (37.46 peratus) dan PN (30.35 peratus). Undi popular BN pada PRU ke-14 ialah 33.8 peratus. Begitu juga dengan kedudukan kerusi, PRU ke-14 ialah 79 dan PRU ke-15, hanya tinggal 26 kerusi Dewan Rakyat. BN mampu meraih 30 kerusi: UMNO 26;  MCA  2:  MIC 1;  dan PBRS 1. Pada PRU ke-14, UMNO memiliki 54 kerusi tetapi selepas itu berlaku exodus menyebabkan kedudukannya semakin mengecil.

Begitu juga rakan-rakan kerjasama politik, BN hanya tinggal empat parti iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS. Komponen BN di Sarawak membentuk GPS – Gabungan Parti Sarawak – manakala di Sabah muncul Warisan dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah). Sebahagian besar wakil rakyat UMNO/BN menyertai PPBM, yang pada PRU ke-14 hanya menang 13 kerusi tetapi diberikan mandate untuk mengetuai PH.

PAda PRU ke-15, beberapa orang menteri dan nama besar kecundang. Antaranya UMNO/BN, Mahadzir Khalid (Padang Terap, Kedah); Reezal Marican Naina Merican (Kepala Batas. P.Pinang) ; Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang, Kelantan); Khairy Jamaludin (Sungai Buloh, Selangor); Tengku Zafrul Tengku Aziz (Kuala Selangor, Selangor); Dr Zambry Abdul Kadir (Lumut, Perak); Datuk Suraya Yaacub (Pendang, Kedah); Nr Jazlan Mohamed (Pulai, Johor) dan Dr Asyraf Wasdi Dusuki di Gerik (Perak). Asraf merupakan pemimpin UMNO yang tewas sebanyak tiga kali (2008 di Tumpat, 2018 di Pasir Puteh, Kelantan dan 2022 di Gerik, Perak.

Bukan sahaja nama-nama besar UMNO telah tewas; MCA dan MIC juga mengalami prestasi yang kurang baik di mana Pengerusi MIC, Tan Sri SA Vigewaran tewas di Sungai Siput, Perak; Pengerusi MCA, Dr Mah Hang Soon di Tanjung Malim, Perak; dan bekas presiden MCA, Liow Tiong Lai di Bentong, Pahang.

Nama-nama besar yang lain (bukan UMNO/BN) tewas ialah Dr Mahathir Mohamad di Langkawi, Kedah (GTA-Pejuang); Mukhriz Mahathir (GTA-Pejuang) di Jerlun, Kedah; Zuraida Kamarudin (PBM) di Ampang, Selangor; Faizal Azumu (PN-Bersatu) di Tambun, Perak;  Dr Mujahid Yusuf Rawa (PH-Amanah) di Parit Buntar (Perak), Khalid Samad (PH-Amanah) di Titiwangsa (Kuala Lumpur); Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-PKR) di Bagan Datuk (Perak); Azmin Ali (PN-PPBM) di Gombak, Selangor ; dan Nurul Izzah Anwar (PH-PKR) di Permatang Pauh (Pulau Pinang).

Apabila keputusan PRU bagi Padang Serai diumumkan (7 Disember 2022), ia menampilkan satu kesimpulan bahawa berlaku kebangkitan ‘gelombang hijau’. Gelombang Hijau merujuk kepada kebangkitan PAS dalam PN. PAS muncul sebagai parti paling dominan (menang 43 kerusi), suatu pencapaian terbaik sejak memasuki pilihan raya umum di negara ini.

Kebangkitan ‘gelombang hijau’ ditafsirkan oleh Dr Mohamad Khalil Hadi (ADUN Batu Buruk) sebagai petunjuk bahawa pengundi semakin menerima ‘politik Islam’. Kenyataan itu dibalas oleh ramai pihak, PAS bukanlah sebuah parti yang membawa makna ‘politik Islam’. PAS lebih bercrak  Islamisme.

Islamisme, menurut seorang tokoh akademik Syria yang mendapat kewarganegaraan Jerman, Bassam Tibi, tidak menepati ciri-ciri Islam. Islamisme adalah satu istilah politik yang menggambarkan bagaimana faktor dan nilai-nilai agama digunakan untuk tujuan politik, atau dalam istilahnya ialah ‘politik diagamasasikan’: promosi sesuatu tatanan politik yang dipercaya beremanasi dari kehendak Allah dan bukan berdasarkan kedaulatan rakyat….Islamisme tumbuh dari interpretasi spesifik atas Islam, namun itu bukanlah Islam; itu merupakan ideologi politik yang berbeza dari ajaran Islam.” (Bassam Tibi, Islam dan Islamisme, edisi terjemahan, Bandung: PT Mizan Pustaka, 2016, hal, 1).

Lim Kit Siang yang telah bersara (tidak bertanding) dalam PRU ke-15. Namun selepas PN menang di Padang Serai, Lim Kit Siang melihat kebangkitan ‘gelombang hijau’ diramalkan bakal menguasai dominasi politik Malaysia dalam tempoh sepuluh tahun (dua pusingan pilihan raya, sehingga 2032). Gelombang hijau dilihat  akan menjadi  sedikit radikal, termasuk dari persepktif ‘kata-kata dan pelabelan’ dan ini sudahpun dimula sebaik sahaja PH, BN dan sebagainya berjaya membentuk ‘kerajaan perpaduan’.

Pemimpin-pemimpin PAS melabelkan kerajaan perpaduan sebagai ‘kerajaan zina’, “ kerajaan di luar tabii’, dan sebagainya. Ia sesuatu yang cuba menyembunyikan sikap dan penolakan Muhyiddin, Pengerusi PN apabila menolak cadangan membentuknya, bekerjasama PH. Muhyiddin menolak kerana kerjasama itu tidak membolehkannya dilantik sebagai PM ke-10.

Ini disebabkan gabungan pimpinan Anwar Ibrahim memperoleh jumlah kerusi yang lebih besar, maka adalah lojik Anwar mengetuai kerjasama tersebut. Semasa kempen PRU ke-15, Muhyiddin merayu pengundi untuk memberikannya ruang, kerana ia adalah ‘peluangnya yang terakhir.’ Apakah pada PRU ke-16, Muhyiddin benar-benar bersara?

Menurut Lim Kit Siang, gelombang hijau wajar ditolak kerana ia bakal menjadikan Malaysia  sebuah negara Islam sedangkan secara berperlembagaan, Malaysia adalah sebuah negara sekular. Pada sebahagian besar rakyat Malaysia, kenyataan Lim Kit Siang itu sesuatu yang berbentuk ‘paranoid’. DAP sebenarnya sebuah parti politik yang sangat menentang ‘politik Islam’ dan kerana itu ia sering menyamakan Islam dengan Islamisme. Ia tidak dapat membezakan bahawa Islam itu adalah ‘keibadatan dan kemasyarakatan’ manakala Islamisme adalah sebuah bentuk politik yang menggunakan ideologi Islam.

Atas sebab itulah mungkin menyebabkan Presiden PAS terus mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia. Ini bukan sesuatu yang janggal, Islam sentiasa dijadikan kambing hitam oleh peradaban barat (Karen Armstrong, Fields of Blood: Religion and the History of Violence, 2014)  dan sampai ke kemuncaknya bila seorang penasihat politik kepada RUmah Putih (semasa pentadbiran George Bush Jr) mengeluarkan satu rumusan bahawa Islam merupakan ‘musuh terbesar peradaban barat’. (Samuel P Huntington, The Clash of Civilisations, 1996). Jadi, barat perlu bertindak untuk melawan kebangkitan ‘green menace’ (istilah John E Esposito, Islam Threat: Myth or Reality?, 1992).

Sejak berzaman lagi DAP menentang ‘politik Islam’ dan daripada kenyataan-kenyataan pemimpinnya, memang parti itu cukup takut dengan kebangkitan Islam. Ketika kebangkitan Islam memuncak di seluruh dunia, tidak ketinggalan juga di Malaysia, salah seorang pemimpin DAP pernah mengeluarkan kenyataan ‘langkah mayat saya dahulu, sebelum Malaysia boleh jadi negara Islam’.

Ketika UMNO/BN dan PAS bermuafakat menubuhkan Muafakat Nasional, keluar kenyataan bahawa ‘jika UMNO dan PAS berjaya memerintah’, negara ini akan diperintah seperti ‘ala Taliban’ dan lebih menyedihkan apabila Lim Guan Eng (Setia Usaha Agong DAP ketika itu) mengeluarkan kenyataan rasis semasa kempen PRK Tanjung Piai (Johor) akhir 2019.

                                                                                               ****

Melihat sejarah kebangkitan dan keruntuhan UMNO antara tahun 1946 hingga 2018, Firdaus Zainal mengemukakan kerangka ‘teori kitaran’ yang digagaskan oleh Ibnu Khaldun untuk memahami proses jatuh dan bangunnya sesebuah peradaban. Ibnu Khaldun, seorang ahli sosiologi, bekas diplomatik dan peletak asas pengetahuan sejarah telah berjaya membuka mata dan memperbaharui kaedah melihat sejarah sebagai kerangka pengetahuan (cemerlang dan ilmiah) sehingga melakarkan perspektif baharu falsafah sejarah dan sosiologi.

Awalnya, pemikiran Ibnu Khaldun (Abu Zaid 'Abdurrahman bin Muhammad bin Khaldun al-Hadhrami, 1332-1406) tidaklah diberikan perhatian walaupun pernah mengajar  di Universiti al-Azhar (1383). Pemikiran Ibnu Khaldun mula mendapat perhatian apabila autobiografinya, at-Ta’riif bi Ibn Khaldun diterjemahkan ke bahasa-bahasa Eropah, dan kemudian diikuti terjemahan  magnum opusnya, Muqaddimah. Terjemahan awal dapat dikesan pada tahun 1695 dan dilakukan secara meluasnya pada tahun 1806. Beberapa penerbitan, ulasan dan komentar mengenai pemikiran Ibnu Khaldun mengenai biografi dan Muqaddimah diterbitkan dengan judul Prolegomena.

Muqaddimah berjaya diselesaikan penulisannya pada tahun 1377 dan merupakan buku pertama daripada siiri sejarah dunia, Kitabul ʻIbari Wa Diwanil Mubtada' Wal-Ḥabar Fi Ayamil ʻArab Wal ʿAjam Wal Barbar, Waman ʻAsarahum Min Dhawish Shalṭanil Akbar ( dikenali secra ringkasnya sebagai Kitab al-Ibar). Bagaimanapun, Muqaddimah kemudian dilihat secara berasingan kerana teori dan kupasan mengenai pola peradaban boleh berdiri sendiri, menyebabkan ianya menjadi sangat popular berbanding siri-siri selanjutnya daripada Kitab al-Ibar.

Menurut Saleh Faghirzadeh, Sosiologi Sosiologi (terjemahan ITNM, 2004): karya  yang terunggul adalah jilid pendahuluan, iaitu Pendahuluan Sejarah atau Muqaddimah atau Prolegomena, yang dianggap bahagian yang terpenting daripada keseluruhan karya beliau. Dalam jilid pendahuluan ini, matlamat beliau adalah memberi arah kepada pembaca, iaitu sebelum beliau menghuraikan sejarah umum masyarakat manusia…beliau meletakkan sejarah (tarikh) ke dalam acuan analisis dialektik dan mencuba sains baru, “ilm al-Umran”, iaitu Sains Pembangunan atau Sains Sosilogi.” (hal.xiv).

Menurut Arnold Toynbee, sejarawan Inggeris: Muqaddimah merupakan sebuah karya dalam bidang falsafah sejarah yang tidak dapat diragukan dan merupakan karya terbesar yang pernah dihasilkan dari hasil pemikiran manusia dari mana dan di manapun’. (A Rahman Zainudidin, Kekuasaan dan Negara: Pemikiran Politik Ibnu Khaldun, Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama, 1992).

Pada tahun 2006, Sepanyol mengingati ulang tahun kematian Ibnu Khaldun ke-600. Ini bermakna, walaupun Ibnu Khaldun sudah meninggal dunia lebih 620 tahun, pemikiran sejarah dan teori kitaran peradabannya masih relevan dengan apa yang berlaku pada masa kini. Sekurang-kurangnya, inilah yang menjadi kerangka Firdaus Zainal untuk memahami konteks sebuah perjalanan politik yang dialami UMNO selepas memerintah Malaysia selama enam dekad (61 tahun, iaitu dari kemerdekaan (1957) hingga kejatuhannya pada bulan Mei 2018), dan dalam usia 71/72 tahun (1946-2018).

Menjelang PRU ke-14, muncul sebuah buku yang mengumpulkan pelbagai artikel mengenai UMNO, iaitu  The End of UMNO?: Essays on Malaysia’s Dominat Party, 2016 disunting oleh Bridget Welsh. Sebahagian pemimpin UMNO melihat tulisan dan penerbitan buku tersebut sebagai sesuatu yang‘kurang ajar’ kerana tidak memahami UMNO secara mendalam dan mencukupi.

UMNO hanya dilihat daripada perspektif ‘mempositifkan kuasa pembangkang’; sedangkan UMNO pada ketika itu masih berkuasa walaupun sudah kehilangan kuasa dua pertiga sejak PRU ke-12 (2008). Ramai yang menafikan analisis yang dibuat, walhal pada PRU ke-14 (2018), UMNO/BN benar-benar ‘tersungkur’ kerana apa yang dibincangkan dalam tulisan tersebut benar-benar menjadi sebahagian liabiliti dalam perspektif pengundi.  (Baca rencana John Funston, “UMNO- From Hidup Melayu to Ketuanan Melayu,” dan Bridget Welsh, “UMNO at 70- An Intrroduction’ dalam buku tersebut)

                                                                                        ******

Firdaus Zainal menulis Hegemoni UMNO: Pembangunan dan Keruntuhannya Menurut Teori Kitaran Ibu Khaldun (Petaling Jaya: SIRD 2021) selepas kekalahan UMNO/BN di mana gabungan Pakatan Harapan (PKR-Amanah dan DAP) menang besar sebaik sahaja keputusan PRU ke-14 (2018) diumumkan. Kejatuhan UMNO/BN bukan sahaja menjadi petunjuk kepada kebenaran teori kitaran peradaban Ibnu Khaldun, bahkan menjadikan UMNO/BN semakin ditolak oleh orang Melayu-Islam di mana semangat asabiyyahnya semakin menipis.

Anwar pernah mengkritik pertautan UMNO dengan Melayu-Islam kerana munculnya kronisme dalam pembahagian kontrak dan pemindahan aset milik negara menerusi Dasar Penswastaan dan Persyarikatan Malaysia. Beberapa nama usahawan bukan Bumiputera membina kekayaan luar biasa hasil daripada perubahan dasar itu (DEB ke Dasar Penswastaan dan Persyarikatan Malaysia).

Dalam teori kitaran Ibnu Khaldun, proses perjalanan sesebuah peradaban berlaku dalam lima fasa, sebagaimana proses kehidupan manusia: lahir, remaja, dewasa, tua dan mati. Lima fasa itu ialah (1) fasa pembinaan (foundation atau kelahiran atau pembentukan atau penubuhan); (2) fasa pengukuhan kuasa (the personalization of power): (3) fasa perkembangan dan peluasan (the growth and expansion);  (4) fasa tenang (stagnation); dan (5) fasa kejatuhan dan kemusnahan (the decline and dissolution).

Fasa 1: Fasa Pembinaan

Fasa pembinaan ialah fasa yang memungkinkan UMNO ditubuhkan (1946) berdasarkan penyatuan semangat nasionalisme menuntut kemerdekaan daripada kolonial British. Nasionalisme dari segi sejarahnya sudah bermula pada awal tahun 1900-an ekoran perkembangan geopolitik yang berlaku di seluruh dunia, termasuk perkembangan pendidikan yang memungkinkan sekumpulan orang Melayu terpelajar melihat kembali makna penjajahan dan peranan kolonialisme.

Kolonialisme dilihat sebagai suatu kisah penindasan, eksploitasi dan menjaga kepentingan ekonomi (kemakmuran) di pihak penjajah. Inggeris sebenarnya perlu kepada peluasan pasaran di mana Perancis mula mengehadkan kemasukan produk industri dari Britain.

Namun, pada peringkat awal, idea melawan penjajah (nasionalisme) tidak berlaku secara bersepadu dan ia diterjemahkan dalam pelbagai bentuk tindakan. Ia belum wujud dalam bentuk sebuah organisasi yang dapat dilihat sebagai sebuah wahana dan perwakilan secara menyeluruh. Pada bahagian ini, suara orang Melayu tidak mendapat perhatian oleh penjajah. Sebaliknya penjajah lebih cepat bertindak sekiranya kepentingan ekonomi mereka terjejas.

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Written by Admin
Category: Resensi Buku
Hits: 1392