 
				
PERISTIWA ANEH SULUK TOK SELEHOR (XIX)
Menurut pengalaman beberapa individu yang pernah melakukan suluk di tempat yang dikenali sebagai Suluk Tok Selehor, ada antara mereka mendakwa mengalami serta mendengar pelbagai suara aneh. Asalnya, tempat ini menjadi lokasi Tok Selehor beribadah bagi membersihkan diri daripada sifat mazmumah.
Kini kawasan berkenaan dipelihara oleh waris dan keturunan Tok Selehor untuk dikongsi bersama mereka yang benar-benar ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Lokasi suluk ini terletak di Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan. Ia sering dikunjungi oleh mereka dari seluruh pelosok tanah air serta dari luar negara termasuk Indonesia dan Singapura. Suluk Tok Selehor juga telah diwartakan sebagai salah satu tempat pelancongan dan warisan sejarah negeri Kelantan.
Niat bersuluk mestilah betul, iaitu semata-mata kerana ibadah. Tempat suluk ini tidak wajar dicemari dengan perkara yang dilarang dan dilaknat Allah SWT. Hal ini kerana tujuan bersuluk adalah untuk mengasingkan diri, mendekatkan diri dengan Allah SWT serta tidak menyalahi syariat atau terlibat dengan unsur-unsur khurafat.
Kebiasaannya, amalan bersuluk dilakukan pada waktu tengah malam hingga awal pagi. Ketika bulan Ramadan, Suluk Tok Selehor menerima permintaan tinggi, khususnya pada sepuluh malam terakhir kerana umat Islam mencari keberkatan malam Lailatulqadar.
Namun, terdapat juga segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menganggap lokasi ini sebagai tempat keramat. Lebih membimbangkan, ada kaki judi yang terjerumus dalam perbuatan khurafat dengan melakukan pemujaan untuk mendapatkan nombor ekor.
Walau bagaimanapun, kebiasaannya sesiapa yang berniat tidak baik atau ingin melakukan perbuatan jahat di kawasan ini akan menerima balasan segera. Perkara ini pernah berlaku kepada beberapa individu — antaranya ada yang menggelupur di dalam tempat suluk hingga tidak sedarkan diri, menyebabkan penduduk setempat terpaksa datang membantu menyelamatkannya.
Catatan: Ibnu Majid
