AMAL SOLEH BENDUNG KONFLIK KEPENTINGAN DAN FITNAH
Oleh Mohd Shauki Abd. Majid
SETIAP apa yang kita lakukan, berfikir, bercakap dan bekerja jika ia memberikan kebaikan sama ada kepada diri kita sendiri atau orang lain, Islam tetap menganggapnya sebagai ibadat.
Perkara ini dijelaskan oleh Dr. Yusuf Qardawi: "Seperti mana yang dihurai dan ditegaskan oleh Ibnu Taimiyah, ibadat itu mempunyai skop yang luas, ia meliputi segala jenis amalan fardu dan syiar Islam, ia juga meliputi budi bahasa dalam kira bicara."
Berdasarkan pengertian itu, segala apa yang kita lakukan hendaklah berlandaskan bahawa manusia perlu menjaga hubungan baik dengan Allah SWT dan keharmonian masyarakat serta negara.
Oleh itu usaha menjatuhkan kumpulan lain yang bertentangan falsafah politik sebenarnya lebih merupakan usaha untuk menutup kelemahan perjuangan sendiri.
Berdasarkan pengertian dan luasnya makna ibadah, setiap Muslim perlu sedar bahawa tujuan melakukan ibadat adalah untuk mencapai hidup yang harmoni, aman, sejahtera dan damai.
Ia tidak akan dapat direalisasikan jika kita melakukan amalan baik tetapi memutuskan silaturrahim dan melakukan hasutan.
Amalan yang soleh - amar makruf - tidak hanya diukur oleh sumbangan tetapi turut dinilai oleh banyaknya kebaikan terhadap sesama manusia. Ia termasuklah inisiatif untuk menghapuskan pertelingkahan atau penderitaan orang lain.
Tetapi jika kita bertindak dan berfikir untuk terus menambahkan lagi pertelingkahan dan mengapi-apikan perpecahan, ia akan dianggap sesuatu yang memudaratkan. Kemudaratan ditegah oleh Islam dan termasuk dalam senarai dosa-dosa besar.
Bagi mereka meletakkan takwa sebagai pengembaraan melengkapkan keimanan, mereka mesti percaya Islam adalah agama untuk menyatukan umat.
Kalau ada yang suka mempersendakan ajaran agama, dia sebenarnya belum sampai pada darjat ketakwaan.
Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik manusia ialah yang bermanfaat di antara mereka daripada manusia. (Riwayat At-Tabrani).
Ada riwayat yang menceritakan bahawa di antara penghuni syurga itu ada seekor anjing. Anjing tersebut dikatakan ikut serta bersama pemuda soleh (As-habul Kahfi). Anjing itu dikatakan memberi manfaat dengan menjaga mereka sehingga akhirnya kesemuanya termasuk anjing tertidur dengan kuasa Allah SWT.
Namun yang paling baik ialah seseorang yang beramal dengan amal soleh ataupun melakukan sesuatu kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada dirinya dan masyarakat.
Ini kerana sumbangan itu memberi saham dalam menjamin kehidupan baik yang dituntut oleh Islam dan dihayati oleh semua manusia. Kebaikan diri individu dalam Islam selalunya dihubungkan dengan kebaikan manusia lain. Neraca kebaikan itu pula ialah menjauhi diri daripada sebarang perkara buruk dan yang diharamkan oleh Allah.
Banyak lagi hadis sahih menjelaskan tentang manusia yang ideal. Mereka berhati tulus ikhlas dan berlidah lurus.
Seorang sahabat pernah bertanya Nabi SAW: "Apa yang dimaksud dengan berhati tulus? Nabi menjawab: Hati yang takwa, bersih, tidak menyimpan dosa, tidak zalim dan tidak dengki. Nabi ditanya lagi: Sesudah itu siapa? Kata Nabi, Yang mengembangkan kehidupan dunia sambil mencintai akhirat. Sesudah itu apa lagi? Mukmin yang berakhlak baik."
Sementara manusia yang paling jahat ialah yang suka menyebarkan fitnah, melaga-lagakan orang yang saling mengasihi, berbuat kejam dan mengganggu kesejahteraan orang lain.
Kemunafikan manusia hari ini jelas tergambar melalui pengakuan mereka sebagai pejuang Islam dan meletakkan diri mereka setaraf dengan ulama serta merasai lebih alim daripada manusia lain tetapi hakikatnya mereka jahil.
Atas perbezaan ideologi yang disertai dengan kejahilan, telah menutup pintu hati dan pemikirannya sehingga berani membuat tuduhan kafir, munafik ke atas sesama Muslim. Malah mereka mengkhususkan syurga hanya untuk puaknya dan neraka untuk puak lain.
Pengucapan dua kalimah syahadah, ikhlas atau tidak bukanlah urusan manusia, ia adalah hak mutlak Allah SWT untuk menilainya. Begitu juga dosa dan pahala.
Kita memerlukan setiap umat tampil dengan wajah yang ramah dan penuh kasih sayang. Kita tidak memerlukan umat Islam yang terikat pada bentuk-bentuk lahiriah yang terlalu setia sehingga mengabaikan inti sebenar daripada ajaran Islam.
Akibat terlalu setia kepada sesuatu puak, kita mungkin akan mendewakan orang lain. Kita akan menganggap setiap perkataannya sempurna, walhal keterbatasan akal rasional telah menutup emosi dan jerat ketaksuban kita.
Janganlah kita membangga diri dengan ilmu yang banyak dan tinggi sehingga meletakkan orang lain semuanya bodoh dan jahil. Janganlah kita takbur dan riak kerana bakal menimbulkan kerosakan di muka bumi.
Orang yang mulia dan baik di sisi Allah SWT ialah mereka yang memulakan salam dan menghulurkan tangan pada saudaranya untuk berdamai. Oleh itu golongan yang menolak tawaran berdamai adalah orang yang paling dibenci oleh Allah SWT.
Islam itu adalah agama yang meletakkan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian di atas segala-galanya. Agama tidak seharusnya digunakan sebagai senjata bagi memecahbelahkan umat.
Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: Apakah akan Kami beritahu kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya? Iaitu mereka yang mensia-siakan hidup di dunia ini, sedangkan sangkaan mereka telah melakukan kebaikan. (Surah Al-Kahfi ayat 103-104).
Sesungguhnya kita perlu yakin bahawa amalan soleh dan berbaik sangka sesama kita akan membendung konflik dan sengketa.
KESIHATAN: NIKMAT DAN AMANAH
Kesihatan merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia. Islam bukan sahaja mengajar umatnya tentang ibadah, malah turut menitikberatkan penjagaan kesihatan fizikal dan rohani. Gaya hidup yang sihat melalui pemakanan yang seimbang, aktiviti fizikal, kebersihan diri serta amalan ibadah dapat membantu seseorang menjalani kehidupan dengan lebih baik. Oleh itu, Islam menyediakan panduan yang menyeluruh agar umatnya menjaga kesihatan tanpa mengabaikan tuntutan akidah, syariah dan akhlak.
Islam adalah agama sahih yang amat menitikberatkan kesejahteraan manusia termasuklah dalam menentukan gaya hidup sihat. Gaya hidup sihat berkait rapat dengan kesihatan jasmani dan rohani. Gabungan kesihatan fizikal dan kerohanian akan menentukan prestasi pekerjaan dan tempoh hayat seseorang. Dengan demikian, kesihatan menjadi harta yang amat bernilai dalam kehidupan seseorang.
Pemakanan yang berlebihan atau kandungannya yang tidak seimbang sering menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, darah tinggi, penyakit buah pinggang, kanser dan sebagainya. Perkembangan penyakit kronik di negara kita amat membimbangkan.
Selain pemakanan, bersukan atau beriadah juga adalah sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat. Islam menggalakkan umatnya supaya mengamalkan aktiviti latihan jasmani yang bersesuaian dengan Islam. Ini bertepatan dengan saranan Sayidina Umar R.A yang menggalakkan bersukan dan latihan jasmani:
Mafhumnya: "“Ajarlah anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda."
Ini adalah seruan yang jelas bahawa Islam meletakkan kepentingan beriadah dalam melatih umatnya dan menjadikan badan mereka sihat dan cergas. Pepatah Melayu ada menyebut: “Minda Yang Cerdas Bermula Dari Badan Yang Sihat.” Justeru, gaya hidup sihat dalam Islam juga dapat diperoleh dengan melakukan ibadah-ibadah khusus seperti berwuduk, bersolat, berpuasa dan sebagainya.
Orang Islam digalakkan bersuci dengan berwuduk dan membersihkan badan. Berwuduk boleh menghilangkan jangkitan kuman dan habuk-habuk daripada terus melekat di badan atau di dalam rongga-rongga. Sesungguhnya amalan berwuduk lima kali sehari ini selari dengan tuntutan ilmu kesihatan.
Selain amalan berwuduk, solat fardhu lima waktu dan solat sunat (nawafil) yang lain juga berkeupayaan memberi ketenangan dan mengawal tekanan hormon dalam badan manusia. Solat yang khusyuk mampu memberi kesegaran kepada anggota badan dan membina kecergasan minda. Solat yang khusyuk adalah solat yang sempurna yang melibatkan tumpuan penuh fizikal dan hati kepada Allah SWT. Dalam usaha mencapai hakikat khusyuk ini, maka kita hendaklah bermula dari amalan mengambil wuduk dengan sempurna, melaksanakan solat dengan cermat dari segi bacaan, qiyam, rukuk, iktidal, sujud, tamakninah serta memahami isi bacaan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ma'aarij ayat 19:
Maksudnya: "Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat kedekut. Kecuali orang yang mengerjakan sembahyang."
Berdasarkan ayat ini, ternyata keistimewaan amalan ibadah khusus membuktikan bahawa Islam telah menyediakan pakej penjagaan kesihatan fizikal (jasmani) dan spiritual (rohani) yang begitu diperlukan oleh manusia sejagat tanpa perlu taksub kepada konsep penjagaan kesihatan yang lain.
Solat khusyuk secara zahirnya adalah menghadapkan diri kepada Allah SWT dengan penuh adab dan penghormatan. Kerana Dia adalah Raja di dunia dan Raja di akhirat, Raja yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa. Solat yang mencapai tahap khusyuk, bukan sahaja memberi kesan baik dalam hubungan kita dengan Allah SWT, malah berupaya membentuk keperibadian Muslim yang unggul.
Bukan sekadar itu sahaja, beberapa kajian daripada pakar-pakar perubatan telah memperakukan bahawa puasa Ramadan dan puasa-puasa sunat yang lain, memberi kesan yang amat baik untuk kesihatan manusia.
Secara umumnya Islam mengharuskan umatnya mengamalkan gaya hidup sihat selagi amalannya selari dengan akidah, syariah dan akhlak Islamiah. Namun jika amalan gaya hidup sihat itu mencemari akidah dan syariah seperti adanya aktiviti atau pergerakan pemujaan, jampi serapah, mendedahkan aurat dan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan, maka ia adalah haram.
Kita semua diseru agar memberi sepenuh perhatian dan mengambil langkah berikut bagi menjamin amalan gaya hidup sihat iaitu:
Pertama: amalkan sikap mencegah lebih baik daripada mengubat.
Kedua: amalkan pemakanan sederhana dan seimbang.
Ketiga: pastikan amalan gaya hidup sihat tidak berlawanan dengan akidah dan hukum syarak; dan
Keempat: sentiasa merujuk kepada ulama atau orang alim, supaya gaya hidup kita diberkati Allah SWT dan disenangi oleh umat Islam.
Kesimpulannya, gaya hidup sihat merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam yang wajar diamalkan oleh setiap Muslim. Penjagaan kesihatan bukan sekadar melalui pemakanan dan aktiviti fizikal, tetapi turut merangkumi kebersihan diri, solat, puasa dan penjagaan kesihatan rohani. Setiap amalan hendaklah dilakukan mengikut panduan syarak agar bukan sahaja memberi manfaat kepada tubuh badan, malah mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Kesihatan yang baik merupakan amanah, maka hendaklah kita menjaganya dengan sebaik-baiknya sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.
Catatan; Ibnu Majid
FILOSOFI TANAH
Oleh : Samsul Nizar
Eksistensi tanah begitu familiar. Semua tahu asal (proses) penciptaan, hidup di atas tanah, dan kembali ke tanah. Meski sederhana, kehadiran tanah bisa memberi manfaat bila digarap dengan bijak.
Namun, tanah bisa berakibat mudharat bila kepemilikannya diperebutkan atau dikuasai secara zalim dan serakah.
Dalam Islam, alam semesta merupakan ayat-Nya. Ayat kauniyah yang dihamparkan begitu nyata dan dekat, tapi hanya sedikit yang mau dan mampu memahaminya. Di antara ayat kauniyah yang diperlihatkan-Nya adalah tanah. Adapun nilai filosofi tanah antara lain :
Pertama, Tanah memberikan kehidupan (awal kehidupan) dan menjadi tempat akhir kehidupan. Bak pepatah mengingatkan "dari tanah, kembali ke tanah". Hal ini sesuai firman-Nya : "Dari bumi (tanah) itulah Kami menciptakan kamu dan kepada-nya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain" (QS. Thaha : 55).
Menurut Ibn Katsir, ayat di atas menjelaskan tentang siklus kehidupan manusia. Asal penciptaan dari tanah, hidup di atas tanah, dan kembalinya jasad (dikubur) dalam tanah sebelum dibangkitkan kembali setelah kiamat tiba. Sungguh, tanah simbol kehidupan manusia. Bila hadir sosok manusia yang baik, maka kehadirannya akan memberi manfaat pada sesama. Tapi, bila tampil sosok manusia nista, maka kemudharatan yang akan dibawa dan menghancurkan peradaban. Hal ini dinyatakan melalui firman-Nya : "Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan izin Tuhan; dan tanah yang buruk, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana..." (QS. al-A'raf : 58). Ibn Katsir menafsirkan ayat di atas sebagai perumpamaan kondisi hati (sifat) manusia dalam menerima hidayah dan ilmu. Sifat yang diibaratkan seperti perbedaan jenis tanah tatkala disiram air hujan. Bila hati suci akan tumbuh subur kebaikan (amal saleh). Pohonnya rindang dengan buah yang lebat. Sebaliknya, bila hati kotor akan tumbuh benalu. Pohonnya berulat dengan buah yang busuk berbelatung. Pohon yang layak untuk ditebang dan dimusnahkan.
Kedua, Tanah begitu tabah (sabar). Meski diinjak-injak, tapi tak pernah mengeluh dan balas dendam. Sifat ini merupakan perumpamaan (metafora) filosofis tentang kesabaran tingkat tinggi. Dalam Islam, sifat tabah dan tidak membalas dendam merujuk pada konsep sabar (ash-shabr) dan memaafkan (al-'afwu). Sungguh, tanah telah mengimplementasikan firman-Nya : “...Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas” (QS. az-Zumar : 10).
Imam al-Qurthubi menjelaskan bahwa ayat di atas berisi seruan agar sabar dalam ketaatan akan menerima ganjaran pahala yang tidak terhitung jumlahnya. Melalui "ayat tanah", Allah mengajarkan sifat mulia tanah (memberi manfaat, menopang kehidupan, dan bersabar ketika manusia memperlakukannya secara zalim). Hal ini seyogyanya menjadi cermin dan refleksi diri agar manusia memiliki kerendahan hati (tawadhu') dan ketabahan, tanpa kehilangan (terjual) harga diri.
Ketiga, Tanah akan murka bila keserakahan dan kezaliman melampaui batas. Suatu saat, tanah akan melepaskan amarahnya. Bila ia tak mau lagi menyerap air, maka air akan meluluhlantakkan semuanya. Terjadi banjir bandang dan longsor. Semua akibat murka alam atas ulah manusia yang serakah dan sombong. Keserakahan eks-ploitasi hutan dan abrasi pantai membuat tanah muak dengan perilaku manusia. Meski tanah tak dendam, tapi ia akan menjelaskan semua kebenaran janji-Nya bagi manusia yang serakah. Hal ini dinyatakan dalam firman-Nya :"Telah nampak kerusak-an di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)" (QS. ar-Rum : 41).
Imam al-Qurthubi menafsirkan ayat di atas sebagai bentuk hilangnya keberkahan di semua aspek akibat perbuatan manusia yang menyebarkan kezaliman di muka bumi. Akibatnya akan dirasakan seluruh manusia yang membiarkan terjadinya kemaksiatan. Murka-Nya bisa dalam bentuk kekeringan, paceklik, berkurangnya tanaman, hilangnya keberkahan rezeki akibat kemusyrikan, kemaksiatan, dan kezaliman. Kesemua azab akan ditimpa-kan agar manusia menjadi sadar, segera bertobat, dan kembali ke jalan Allah.
Keempat, Tanah tak pernah membuka aib manusia. Padahal, aroma "bangkai" tubuh manusia begitu busuk dan menyengat. Dengan sabar, tanah menutupnya rapat. Berbeda sifat manusia. Bau orang lain tercium busuk dan dibuka, tapi lupa pada bau dirinya yang lebih busuk dan sangat menyengat.
Ketika manusia kembali ke tanah (mati), tanah akan menyambutnya dengan sam-butan berbeda. Bagi manusia pemilik kebaikan, tanah akan "memeluknya" lembut dengan rahmat-Nya. Hal ini dinyatakan Rasulullah ﷺ melalui sabdanya : "Dilapangkan baginya kuburnya sejauh mata memandang, dan kuburnya diterangi cahaya..." (HR. Tirmidzi)
Sifat tanah yang menutup kebusukan manusia menjadikannya hamba yang patuh. Hal ini merupakan cermin hamba yang mengimplementasikan sabda Rasulullah ﷺ : "Barang siapa menutupi aib seorang Muslim, Allah akan menutupi aib orang tersebut di dunia dan akhirat" (HR. Ibnu Majah, Muslim, dan Bukhari).
Sifat mulia yang diajarkan-Nya melalui sifat tanah. Namun, meski manusia hidup di atas tanah, tapi jauh dari sifat tanah. Di era digital, manusia acapkali bangga bila bisa membuka aib sesama. Sementara, bila aibnya terbuka, sejuta alasan dimunculkan dan ranah hukum ditempuh. Manusia seakan melupakan adanya kehidupan di alam barzah. Sebab, bagi manusia fasik, munafik, kufur, zalim, serakah, dan varian lainnya, meski tanah akan menutupi bau busuk dirinya, tapi tanah akan menghimpitnya dengan kasar sebagai bentuk murka-Nya. Bahkan, tulang-tulangnya hancur saling berhimpitan. Siksa ini dikhabarkan oleh Rasulullah ﷺ melalui sabdanya : "Dikatakan kepada bumi, himpitlah dia, maka dihimpitlah jenazah tersebut sampai tulang rusuknya berserakan, dan ia akan selalu merasakan azab sampai Allah bangkitkan dari tempat tidurnya tersebut" (HR. at-Tirmidzi).
Meski ayat-Nya dan sabda Rasulullah ﷺ diketahui begitu jelas, namun segelintir manusia justeru dengan angkuh melanggarnya. Sungguh, manusia telah melapaui batas sebagai manusia yang berakal. Hal ini telah mencampakan derajat manusia sebagai hamba yang hina nista melebihi hewan (QS. al-A'raf : 179).
Berbagai pelanggaran yang terjadi acapkali melibatkan "kooperasi" (kerjasama banyak pihak) yang secara sadar dan bersama-sama melanggengkan berbagai bentuk kemungkaran. Anehnya, sebagiannya justeru dilakukan oleh kaum cendekia yang secara ilmu lebih tau, ekonomi begitu mapan, dan status mumpuni. Mungkin, semua ini merupakan jawaban atas kekhawatiran Rasulullah ﷺ yang disampaikan melalui sabdanya : "Seandainya anak Adam me-miliki satu lembah emas, niscaya ia ingin yang kedua. Tidak ada yang memenuhi mulutnya (rongga perutnya) melainkan tanah, dan Allah menerima taubat siapa saja yang bertaubat" (HR. Bukhari dan Muslim).
Merujuk hadi di atas, kata tanah digunakan sebagai majaz batas akhir keserakahan manusia. Nafsu terhadap harta akan ber-henti ketika manusia sudah masuk ke liang kubur (tertutup tanah). Namun, batas ter-sebut menandakan tertutupnya waktu untuk taubat atas keserakahan, kezaliman, dan kesombongan yang dipertahankan.
Kelima, Tanah jujur menampilkan kualitas pohon yang tumbuh. Bila bibitnya berkua-litas, maka tumbuh pohon dan buah yang berkualitas. Tanah akan menghadirkan nikmat-Nya yang terbaik. Sebaliknya, bila bibitnya penghasil virus akan tumbuh pohon racun yang mematikan. Tanah tak menutupi atau me-rekayasa kualitas pohon. Sementara manusia justeru berpotensi melakukan rekayasa atas kualitas sesamanya. Rekayasa atas kepentingan "kooperasi dan pundi" meng-hantarkan manusia melakukan kezaliman. Menyingkirkan sosok yang berkualitas dan mengangkat sosok yang bisa "membawa tas" (pundi). Padahal, Rasulullah ﷺ dengan tegas telah mengingatkan : "Jika suatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kehancurannya” (HR. Bukhari).
Meski hadis di atas begitu populer, tapi ia kalah oleh dorongan harapan popularitas. Menitipkan amanah pada pengkhianat, pe-cundang, atau varian lainnya. Manusia tak lagi peduli, bahkan begitu nyata selalu mempersendaguraukan ayat-Nya dan sabda Rasulullah. Sungguh manusia benar-benar telah melampaui batas (QS. al-'Alaq : 6). Suatu saat, ketika manusia kembali ke tanah, ia akan merasakan pahitnya buah atas tanaman kezaliman yang ditanamnya. Penyesalan yang tak lagi berguna, retorika yang terkunci, status yang tak memberi manfaat, dan pengikut yang tak bisa mem-bantu. Sebab, Allah akan jawab semua rintihan hamba yang teraniaya (QS. al-Qomar : 10). Andai kumpulan hamba yang teraniaya mengapungkan rintihan, maka langit akan bergetar terguncang hebat. Mungkin manusia telah kehilangan rasa takut pada-Nya, dikalahkan rasa takut pada posisi dan kepentingan dunia semata.
Meski manusia sadar asal kejadian dan tempat kembalinya (QS. al-Baqarah : 156), tapi acapkali tak mau peduli. Mereka asyik terbuai oleh kesenangan dunia yang melalaikan tujuan hidup yang hakiki (QS. al-'Alaq : 6). Bila tak juga sadar, maka teruslah berbuat kerusakan dan kezaliman di muka bumi sampai mulut terisi tanah. Ketika waktu tersebut tiba, tak ada ruang taubat dan penyesalan. Na'uzubillah..Wa Allahua'lam bi al-Shawwab.***
Prof Samsul Nizar adalah Guru Besar IAIN Datuk Laksemana Bengkalis
Sumber: jawapos.com
BAHAYA MAKSIAT
Dalam kehidupan yang penuh dengan godaan dan kemewahan dunia, manusia sentiasa berdepan dengan pilihan antara ketaatan dan kemaksiatan. Dunia yang kelihatan indah sering menjadi perangkap apabila hati mula lalai daripada mengingati Allah s.w.t. Di sinilah syaitan memainkan peranannya, membisikkan godaan, membangkitkan hawa nafsu dan perlahan-lahan menjauhkan manusia daripada jalan kebenaran.
Sejak sekian lama umat Islam telah diperingatkan oleh Allah s.w.t menerusi ayat-Nya bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata: “Hai dunia, tipulah orang lain selain aku. Aku telah menceraikanmu dengan talak tiga. Umurmu pendek, perhiasanmu sulit dan bahayamu sangat besar. Betapa sedikit bekalku, betapa panjang perjalananku dan betapa sunyi jalanku.”
Justeru, di dalam mengabdikan diri kepada Allah s.w.t, manusia ini juga dapat digolongkan kepada dua golongan.
Golongan pertama, mereka yang taat dan patuh menjalankan perintah Allah s.w.t, dan golongan kedua adalah mereka yang ingkar dengan ketentuan dan ketetapan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t dalam surah Hud ayat 24 yang bermaksud:
“Bandingan dua golongan itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; Adakah kedua-dua golongan itu sama keadaannya, maka tidakkah kamu mengambil peringatan.”
Orang-orang yang beriman, mereka menyerahkan kehidupannya hanya kepada Allah s.w.t dan bukan kepada selain daripada Allah.
Mereka lebih mementingkan keredaan Allah daripada bermewah-mewah dengan kehidupan dunia, menjaga solat melakukannya dengan khusyuk, menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan tidak berguna, menafkahkan harta mereka ke jalan Allah, menjaga kemaluan atau kehormatan daripada berbuat kemungkaran, tidak melampaui batas dalam bertindak dan mereka juga sentiasa menjaga amanah. Begitu juga sebaliknya bagi yang ingkar dan maksiat, mereka berpegang teguh dengan tali syaitan yang menguasai dalam kehidupan mereka.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah ayat 19:
Maksudnya: “Syaitan telah menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu orang yang rugi.”
Musuh Allah s.w.t, iaitu syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ke lembah maksiat, iaitu dengan lisan ataupun perbuatan. Cara lisan lebih penting daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga merbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam neraka.
Saidina Mu’adz pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga dan menjauhkan daripada api neraka. Maka Rasulullah s.a.w memegang lidahnya sendiri lalu bersabda: “Hendaklah kamu menjaga ini.”
Selanjutnya baginda bersabda: “Sesungguhnya kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita perkatakan.”
Allah s.w.t telah menyingkap rancangan-rancangan musuh-Nya sebagai jalan atau pintu masuk yang akan merosakkan manusia antara lain adalah: Ajakan kepada kejahatan, menanam rasa takut miskin, menyemai nilai-nilai dusta, menanamkan permusuhan antara individu, keluarga, masyarakat hinggalah ke sesuatu bangsa, mencegah daripada mengingati Allah s.w.t sama ada dengan kesenangan atau kesulitan, menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t, menanam rasa putus asa, takjub, ego, takbur dengan diri sendiri, memperbanyakkan harta untuk sekadar disimpan bukan untuk kepentingan umum.
Hasil daripada Allah s.w.t menyingkap pintu-pintu musuh Allah ini, maka lahirlah manusia yang terpaut dengan ajakan serta bisikan yang mendatangkan kerosakan pada kehidupan manusia itu sendiri. Dengan pujuk rayu dan godaannya, maka akhirnya ramailah manusia yang bergabung menjadi pengikut kemaksiatan ini. Dengan demikian, mereka yang di bawah takluk dan lemas dalam godaan maksiat akan jatuh ke dalam lumpur dan lembah kesesatan. Manusia yang hidup di dalam kemaksiatan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah s.w.t sedikit pun.
Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, malah mendorong ke arah kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah s.w.t. Saidina Ali berkata: “Yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.”
Pelaku maksiat sudah tentu mereka yang dikalahkan oleh hawa nafsunya, kebatilan menguasai hati, mereka melupakan Allah s.w.t semasa melakukan maksiat dan dikuasai oleh para syaitan. Maka ingatlah bahawa musuh Allah ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa maksiat tidak akan dilakukan semasa hati seseorang itu beriman kepada Allah s.w.t.
Rasulullah bersabda dengan maksudnya: “Tidaklah beriman seseorang penzina itu ketika berzina, tidak beriman seorang pencuri itu ketika mencuri, tidak beriman seorang peneguk arak itu ketika ia meneguknya dan tidak beriman orang yang merampas harta yang tinggi nilainya itu ketika merampasnya.” (Riwayat Bukhari)
Manusia sentiasa berdepan dengan godaan dunia, hawa nafsu dan bisikan syaitan yang boleh menjerumuskan diri ke lembah kemaksiatan. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., menjaga hati, lisan dan perbuatan serta tidak mudah terpedaya dengan kesenangan dunia. Jangan biarkan hawa nafsu menguasai diri sehingga kita lupa kepada Allah dan kehidupan akhirat.
Catatan: Ibnu Majid
Masih terdapat segelintir peminjam yang mengabaikan tanggungjawab untuk melangsaikan hutang walaupun telah diberikan pelbagai peringatan dan peluang. Malah, ada antara mereka yang hidup dalam keadaan mewah tetapi tidak amanah serta enggan membayar hutang kepada pihak yang pernah membantu mereka mendapatkan pembiayaan pendidikan. Keadaan ini menjadi lebih memalukan apabila sebahagian daripada individu yang tersenarai sebagai penghutang terdiri daripada orang Islam, sedangkan Islam amat menitikberatkan sifat amanah dan kewajipan melunaskan hutang.
Pada masa kini, isu kegagalan melunaskan hutang semakin membimbangkan, lebih-lebih lagi dengan kemudahan "Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL)" yang semakin berleluasa. Kemudahan ini digunakan oleh pelbagai golongan tanpa mengira sama ada mereka bekerja, tidak bekerja mahupun pelajar. Ada yang berbelanja melebihi kemampuan kerana tertarik dengan tawaran pembayaran secara ansuran atau penangguhan bayaran, namun akhirnya gagal menjelaskan hutang mengikut tempoh yang ditetapkan.
Selain itu, masih terdapat segelintir peminjam yang mengabaikan tanggungjawab untuk melunaskan hutang walaupun telah diberikan pelbagai peringatan dan peluang. Malah, ada antara mereka yang hidup dalam keadaan mewah tetapi tidak amanah serta enggan membayar hutang kepada pihak yang pernah membantu mereka mendapatkan pembiayaan. Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan apabila sebahagian daripada individu yang gagal melunaskan hutang terdiri daripada orang Islam, sedangkan Islam amat menitikberatkan sifat amanah dan kewajipan menunaikan hak serta melangsaikan hutang.
Adalah amat dibimbangi budaya berhutang menjadi gaya hidup masyarakat Islam. Ia mungkin tidak pelik jika di lakukan dalam keadaan darurat. Oleh itu, sikap mudah terpengaruh dengan iklan jualan murah, tidak puas dengan apa yang ada, mudah membuat pinjaman, dan gagal mengawal nafsu berbelanja dikenal pasti punca budaya ini menular.
Dalam suasana ekonomi pada masa ini, kita hendaklah berhati-hati supaya tidak terjebak dengan budaya berhutang. Sikap suka berhutang boleh mendatangkan kesan buruk kepada manusia seperti tekanan emosi, muflis, kehilangan semangat untuk bekerja, kecelaruan fikiran, merompak, melacur, kehidupan keluarga yang tidak bahagia, dan tidak diampuni dosanya oleh Allah s.w.t. Ini selari dengan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menegaskan:
Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t mengampunkan segala dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa yang melibatkan) hutang piutangnya.”
Agama Islam mengharuskan seseorang itu berhutang khususnya dalam keadaan darurat dan sangat-sangat memerlukan kewangan untuk meneruskan kehidupan. Walau bagaimanapun, Islam sangat teliti dalam soal memberi, menerima, dan membayar semula hutang tersebut.
Pada dasarnya isu hutang dan pinjam meminjam berkait rapat dengan sikap amanah pemiutang dan penghutang. Sifat amanah dilihat sebagai satu kontrak yang membuktikan semangat tolong menolong, kasih sayang, dan ketinggian iman seseorang antara mereka yang mampu dengan mereka yang berada dalam kesusahan.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 283:
Maksudnya: “Kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya.”
Oleh itu, Islam telah menetapkan bahawa setiap yang berhutang wajib melaksanakan amanah dan bersifat jujur membayar hutang mereka setelah berkemampuan. Bagi sesiapa yang suka melewat-lewatkan atau menangguhkan pembayaran hutang ini, maka maruah mereka menjadi hina, hidup hilang keberkatan dan tidak diredhai oleh Allah s.w.t, amalan kebajikan tertolak, dan tergolong dalam orang yang zalim.
Semua pihak terutama yang berhutang tetapi tidak menjelaskan hutang tersebut diingatkan supaya bersegeralah untuk melunaskan hutang piutang kita. Akhir-akhir ini bukan sahaja yang berhutang menjadi korban, bahkan ahli keluarga mereka turut terbabit sama seperti diugut, dipukul, di samun, dan dibunuh.
Kesimpulannya, amalan berhutang dibenarkan dalam Islam apabila benar-benar diperlukan, namun setiap hutang yang dibuat wajib dilunaskan dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Fenomena kegagalan membayar hutang serta budaya "Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL)" yang semakin berleluasa menunjukkan bahawa masih ramai masyarakat yang kurang berdisiplin dalam mengurus kewangan dan mudah terpengaruh dengan gaya hidup mewah. Sikap ini bukan sahaja mendatangkan kesan buruk kepada diri, keluarga dan masyarakat, malah turut mengundang kemurkaan Allah SWT kerana hutang merupakan amanah yang wajib diselesaikan. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah berbelanja mengikut kemampuan, mengelakkan hutang yang tidak perlu, serta berusaha melunaskan segala hutang apabila berkemampuan. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan dalam membendung budaya berhutang secara berlebihan dengan mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah. Semoga masyarakat Islam sentiasa memelihara hak sesama manusia dan menjadikan tuntutan agama sebagai panduan dalam setiap urusan kewangan agar memperoleh keberkatan hidup di dunia dan akhirat.
Catatan: Ibnu Majid