DESAK SERAH WARKAH KEPADA AGONG, RAJA-RAJA
KUALA LUMPUR — Sekretariat Rakyat Bertindak (DESAK) menyerahkan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja berhubung cadangan mewujudkan Akta Kedaulatan Raja dan Akta Kesetiaan Negara.
Cadangan akta itu dizahirkan melalui Perisytiharan Himpunan Daulat Tuanku pada 16 Mei 2026 di hadapan Pejabat SUK Negeri Selangor di Shah Alam.
Penyelaras DESAK Datuk Dr Ibrahim Ali menyerahkan warkah itu kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad di Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Dalam pertemuan tersebut, Ibrahim turut menjelaskan rasional dan kepentingan kedua-dua cadangan akta tersebut sebagai usaha memperkukuh kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, memelihara keharmonian negara serta memastikan kedudukan Raja-Raja Melayu dan Islam terus dihormati serta dipertahankan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Cadangan akta ini juga adalah sebagai langkah pencegahan terhadap penghinaan yang berterusan terhadap Raja-Raja Melayu yang merupakan payung negara dan negeri, dan kesucian Agama Islam sebagai Agama Persekutuan,” kata Ibrahim.
Ibrahim juga menyerahkan sembilan salinan warkah yang ditujukan kepada Raja-Raja Melayu untuk dipersembahkan melalui saluran yang sewajarnya.
“Semoga segala usaha ini mendapat perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya demi mempertahankan Kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu dan Islam Agama Persekutuan,” katanya.
Sumber: bebasnews.my
