ULAMA ADALAH TUKANG KEBUN TUHAN (III)

Renungan dan nasihat Bahaudin Walad cukup dekat apa yang beliau fahami makna dalam al-Quran. Beliau tidak merenungi sesuatu perkara sebagaimana manusia biasa merenung tentang "nasib" atau sesuatu perkara yang terlintas dalam fikirannya.

Misalnya, ketika merenung warna langit yang sedang mencapai puncak senja, sebahagian daripada manusia hanya melihat "keindahan warna" alam maya yang cukup harmoni berpadu, sehingga "keindahan" itu benar-benar menakjubkan sebagai satu bentuk panorama alam.

Tidak hairanlah ada yang sangat gemar kepada warna-warna itu sehingga ada yang mentafsirkannya sebagai sebuah lembayung petang yang akan menamatkan hayatnya pada hari itu, matahari hanya sekadar tenggelam dalam tata alam, dan esoknya akan muncul fajar yang juga cukup menarik.

Antara tenggelam dan munculnya matahari, akan memberikan makna buat manusia untuk memandu arah hari. Apakah hari itu membawa cahaya terang hingga ke petang, atau akan ada hujan di tengah hari. Jika hujan mencurah-curah tanpa henti untuk beberapa jam, hati manusia mula bimbang kemungkinan berlakunya banjir, dan kesesakan jalan raya yang amat tinggi.

Alam itu bukan sahaja memberikan rezeki dan ketenangan, juga boleh membawa banyak "ujian" yang memaksa kita berfikir dan mencari langkah bagaimana untuk berhadapan dengannya. Tidak semua orang berjaya dengan usahanya, dan ada yang merasa gagal kerana halangan-halangan yang dilihat sebagai tidak dapat dikawal oleh akal sihat lalu menyalahkan semua orang, biarpun Allah SWT memberikan petunjuk yang cukup jelas.

Allah SWT menyatakan, semua yang ada di bumi dan di langit adalah untuk faedah setiap makhluk, kerana dari situlah muncul rezeki. Allah SWT juga memberikan amaran, dalam setiap daripada manusia "mencari rezeki", lakukanlah secara berhemah demi kelangsungan ekosistem, kerana ekosistem yang terganggu akan menyebabkan musibah: telah berlaku kerosakan di langit dan di bumi akibat tangan-tangan manusia. (Surah ar-Rum, ayat 41).

Kata Bahaudin Walad (BW Maarif, Kitab 1, Bab 53): "Dunia ini adalah sebuah langit terbuka dan juga sebuah tempat sampah. Dunia ini memberikan kehidupan dan juga kematian... Tekanlah jarimu pada dunia ini, lalu dekatkan jarimu itu ke lubang hidungmu.

"Maka, engkau akan menciumi aroma minyak wangi, atau di sebaliknya, engkau akan mencium bau busuk (kekotoran). Namun, jika cintamu kepada-Nya tetap menyala, maka hatimu akan tetap terjaga. Jika engkau sedang menggenggam emas di tangan, jangan engkau bayangkan untuk mengubahnya menjadi kotoran."

Maknanya cukup dalam, bau wangi itu muncul dalam suasana kita berjaya mengendalikan diri, tidak dipengaruhi oleh faktor luaran yang sentiasa berproses dalam sistem dan cara kita berfikir. Fikiran, dalam fahaman ahli sufi merupakan penasihat, manakala hati adalah raja, atau kemuncak kepada kehendak yang tidak terbatas dan tanpa had. Sebab itu ada pepatah mengatakan: Ikut hati binasa. Sebabnya, hati sentiasa muncul dalam entiti rasa, tanpa beralaskan rasional. Namun, rasionaliti juga bahaya, apabila fikiran terlalu bebas sehingga mencabut nilai atau proses yang tepat.

Setiap tindakan perlu mengukur pada acuannya, kerana kebebasan tanpa acuan yang tepat akan menyebabkan kehancuran yang fatal. Ia seperti dunia hiburan yang tidak dapat dikawal, ekstasi berlebihan dan ghairah yang boleh membawa kepada kematian. Kita pernah dengar, kerana "ekstasi" ada yang sanggup menjadi "gila" dan proses menuju kegilaan itu dilalui dengan cara yang "membunuh diri" sendiri. Mengambil dadah, dan dadah itu melonjakkan denyut jantung. Akhirnya, denyut jantung terhenti. Kebetulan, ada juga dadah yang dinamakan ekstasi, yang cepat menyerap rasa ghairah dan lupa diri.

Oleh itu, sebagai penasihat, fikiran wajar menentukan bahawa gerak hati tidak terjerumus ke dalam "ruang sampah", kerajaan ianya membawa kepada bau hapak yang menyengat dan kegilaan yang melampau. Kerana, apa yang dibangunkan oleh "ruang sampah" itu adalah ilusi, dan kadangkala muncul dalam proses yang cukup licik dan berbahaya. Makna "ruang sampah" ialah apa yang boleh ditafsirkan sebagai "melanggar" atau dalam bahasa agama, kemungkaran dan keburukan.

Nasihat ayah Rumi lagi: "..dalam mencari kesenangan duniawi, tiada yang lebih indah selain penyatuan antara rasa sayang dan sentuhan lembut kekasih ketika saat bercinta (bertemu atau bersentuhan). Itulah rasa yang termanis. Jika engkau menjadi ekstasi (keasyikan yang amat) di dalamnya, maka ingatlah Tuhan yang telah mengurniakan nikmat itu kepadamu.

"Atau, ketika saat engkau merasakan otakmu seperti akan terbelah di puncak kenikmatan, ingatlah kekuatan gempa bumi boleh memisahkan gunung dan tembok batu yang berliku-liku. Biarkan kuasa kehidupan itu mengalir hingga puncak dan memecahkan ekstasi ghairahmu....

"Keinginan untuk menyenangi dan memiliki benda-benda duniawi muncul dalam diri kita secara alami. Seperti seorang anak kecil menyukai gula-gula (atau aiskrim), begitu juga kita yang terobses kepada pelbagai hiasan...memiliki kecenderungan untuk berghairah dan menyenangi benda-benda, hingga akhirnya seluruh benda-benda yang kita senangi itu lebur menjadi cahaya." (BW Maarif, Kitab I, Bab 59).

Ingatlah, semuanya adalah sementara, kerana setiap kali kita mencapai kepuasan, kepuasan itu tidak kekal, kita akan mencari bentuk kepuasan yang lain. Sesuatu kepuasan yang kita capai, akan mencapai tahap "tidak lagi puas"; kita beralih untuk mencari lebih banyak kepuasan yang berbeza. Dalam proses mengumpul kepuasan itulah kita sebenarnya menuju kepada tahap kejatuhan dan kerendahan "harga diri". Oleh kerana "perburuan kepuasan" tanpa henti, kita menjadi manusia yang tamak, haloba, dan paling dahsyat ialah sanggup bertindak kejam selagi "kepuasan" yang baru muncul dan hendak kita gapai itu belum menjadi kenyataan.

Sesungguhnya, hidup ini terus bergelumang dengan dosa atas haloba. Pada akhir sufi, fenomena itulah yang menjadi "neraka dalam syurga" yang manusia sendiri mengejarnya hingga lupa bahawa, Allah SWT yang Maha Berkuasa dan Maha Menentukan. Adakalanya, kita mencabar Kekuasaan-Nya, sedangkan kita hidup atas rahmat-Nya. Tanpa rahmat-Nya sudah lama manusia "mati" dan menjadi keras seperti batu atau puing-puing yang tidak bermakna.

Dalam mengharungi hidup ini, tentunya kita berusaha meraih "jiwa tenang" kerana kita yakin, "jiwa tenang" itulah puncak kebahagiaan. Namun, "sedarlah", kata Bahaudin Walad, " ketika engkau berniaga di kedaimu, ingatlah bahawa engkau sedang hidup di alam misteri. Jangan menipu orang lain. Jangan menjadi penjilat. Jangan menggunakan hal-hal yang berbau agama untuk meningkatkan status sosialmu. Jangan menukar kedamaian di dalam jiwamu dengan beberapa perhiasan bagi tubuhmu." Semuanya, tanpa disedari ia akan menjadi 'penjara terbuka": ilusi dunia.

Kita membangun "rumah kita" dengan menggunakan keenam pancaindera kita "dengan segala perhiasannya, sehingga kita pun enggan untuk meninggalkannya. Mata jiwa (Indera keenam) memandang sebuah gambar, kemudian lahirlah keinginan untuk bertindak, maka terciptalah sebuah dunia yang tergambar di dalam fikiran kita.

"Dan, di saat timbul kata mengapa", ujar musim gugur, "maka cinta pun akan berakhir seketika." Namun, di musim gugur itulah kita sepatutnya memahami, selepasnya akan berganti musim yang lain, kalau kita masih diberikan peluang untuk bernafas dan berada dalam rahmat-Nya. Bagaimana kalau ia tidak berlaku, musim gugur itu adalah musim penamat bagi jasad yang kita gunakan untuk berghairah melayani keinginan sendiri yang kita gambarkan dalam fikiran kita?

Sebab itulah, Bahaudin Walad cukup gemar menggambarkan hidup ini sebagai sebuah taman yang indah. Namun, taman yang indah akan kekal indah sekiranya "tukang kebun" terus menanam pokok dan menghasilkan benih yang baik. Pokok akan terus bercambah, membesar, berbunga dan berbuah selagi dunia ini belum berakhir. Pokok yang menghasilkan buah yang baik, atau berbunga mekar itulah "keindahan rumah kita".

Tentunya, untuk menjadikan taman yang indah sebagai "rumah kita", pokok-pokok yang kita tanam tidak dibiarkan tumbuh dan membesar tanpa dijaga sempurna. Pokok yang membesar "tanpa belaian" akan tumbuh meliar. Begitu juga dengan manusia, "terus menerus menguasai hari-hari dengan cara egois dan tidak normal."

Mereka yang tumbuh tidak normal itulah yang mengeluarkan "kata-kata dungu...engkau seperti pokok ara, yang tidak sepenuhnya tertanam di dalam tanah, tetapi tidak juga tercabut. Atau seperti pohon anggur yang terkeluar bebas dari dinding tempat tumbuhnya: tidak sepenuhnya terlihat atau tersembunyi.

"Atau setitik embun yang menguap di pagi hari: kau belum berpindah ke tempat yang lain, tetapi enggan untuk kembali. Engkau hidup di tengah kebingungan yang telah engkau ciptakan sendiri." (BW, Maarif, Kitab II, Bab 32).

Dan, "ingatlah Tuhan dalam segala perbuatanmu"; kerana setiap nafas yang tarik dan hembus itulah rahmat-Nya yang terbesar, semuanya kerana Cinta-Nya terhadap makhluk yang Dia sendiri ciptakan. Walaupun Dia tidak memerlukanmu, tetapi kerana Dialah engkau hidup dan menikmati keindahan semesta yang berada di seluruh pandangan mata dan hatimu. Jagalah hubungan engkau dengan Dia, sebelum Dia memutuskan nyawa kita, dan jagalah orang lain sebagaimana kita mahukan diri kita dijaga.

Jangan jadi seperti iblis yang dengki apabila melihat keindahan dan rahmat Tuhan pada Nabi Adam AS, "lalu menenggelamkan dirinya dalam sikap pengecut dan tak berdaya...membenci Nabi Adam serta seluruh keturunannya." Sebenarnya, iblis itu 'telah merosakkan sendiri wajahnya." Walaupun, kata Bahaudin Walad, "semuanya itu mungkin sekadar perumpamaan..suatu ketika, akan terbukti sebagai kebenaran." (BW, Kitab II, bab 64).

(bersambung)

MONOSIN SOBRI

 

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com