ANTARA DUA DUNIA: DUNIA SEKARANG DAN DUNIA ESOK

"Jual dunia sekarang ini untuk dunia esok

dan engkau akan dapatkan keduanya dalam kesempurnaan

tetapi jangan engkau jual dunia esokmu

untuk dunia sekarang

kerana engkau akan kehilangan keduanya

Bersikaplah terhadap dunia ini seolah-olah tidak ada

dan terhadap dunia esok seolah-olah ia tidak akan hilang

Orang yang bijaksana

adalah orang yang menganggap dunia ini

sebagai bukan apa-apa

dan kerananya

dia mencari dunia yang lain

bukan justeru menyia-nyiakan

dunia yang lain demi mencari

dunia sekarang

Barang siapa mengenal Tuhan

menganggap Dia sebagai seorang teman

dan barang siapa mengenal dunia ini

menganggap Dia sebagai seorang musuh."

Hasan al-Basri (Abu Sa'id al-Hasan ibnu Abi-I-Hasan Yasar al-Basri, 21H/ 642M- 110H/728M). [Dikutip dari Margaret Smith, Mistikus Islam: Ujaran-ujaran dan Karyanya, terjemahan Readings from the Mystics of Islam oleh Ribut Wahyudi, Surabaya: Penerbit Risalah Gusti, 2001, hal. 3.]

                                                                                                          .......

Sebuah cerita sufi dari secebis pembacaan lama saya cukup menginsafi, tetapi sayangnya sumber asal pembacaan itu tidak saya temui. Setelah itu, saya cuba mencari, membelek buku-buku yang ada dan saya bertemu dengan tulisan Ibnu Mahali Abdullah Umar yang ternyata terbitannya cukup baharu, iaitu cetakan pertama pada tahun 2000. Versi yang saya ada adalah cetakan keempat, bulan Jun 2002, Perjalanan Rohani Kaum Sufi (Yogyakarta: Penerbit Kreasi Wacana).

Buku tersebut mengandungi tiga puluh sembilan kisah dengan masing-masing membawa pengajaran moral dan nilai agama yang cukup tinggi selain bab awal yang sebagai pengantar, perihal bagaimana sufi itu bermula. Menurut pengarang, sufi bermula dengan dialog, sebagaimana diungkapkan oleh Abdillah bin Umar RA.

Cerita Abdillah: Rasulullah SAW bersabda: Orang-orang yang memiliki rasa belas kasihan akan dikasihi oleh Allah SWT. Maka, kasihanilah makhluk yang berada di bumi, dan engkau akan dikasihani oleh makhluk (malaikat) yang berada di langit."(hal. 13).

Sungguh sempurna Islam dan ajarannya sehingga kita menginsafi bahawa Islam adalah cara hidup yang benar-benar mengutamakan kasih sayang, kerana Allah SWT sendiri tidak pernah berhenti melimpahkan kasih sayang-Nya kepada semesta alam. Saya teringat kepada sebuah renungan dari seorang pesakit. Setelah beberapa lama dirawat di rumah sakit, ia mengeluh melihat bil hospital begitu tinggi, termasuk bayaran yang terpaksa dibayar kerana menggunakan alat bantuan pernafasan, yang di dalam saluran tiruan itu dialirkan oksigen untuk membantu memulihkan denyut nadi.

Setelah melihat bil yang begitu tinggi, pesakit itu mula sedar. Sejak beliau lahir, dirinya tidak pernah membayar walau sesen pun harga udara yang dia hela setiap saat. Bertahun-tahun lamanya sehingga dia jatuh sakit dan dirawat dengan menggunakan alat bantuan pernafasan. Ertinya, udara menjadi unsur yang cukup "murah" dan juga cukup "mahal". Di situlah letaknya sebuah petunjuk, tanpa udara kita tidak akan hidup. Tanpa udara kita tidak dapat menikmati hidup ini dengan penuh ghairah dan pesona.

Dalam ghairah dan pesona itulah ramai manusia terperangkap. Manusia terperangkap dengan kehendak yang ditakdirkan "tidak terbatas" sedangkan kemampuan yang dimiliki "cukup terbatas". Dalam makna asal ekonomi, yang merupakan bidang ilmu tentang "kehendak yang tidak terbatas" dan "kemampuan yang terbatas" itulah manusia diberikan pilihan. Di situlah munculnya istilah "kos melepas" dan pertimbangan untung-rugi. Dan, kerana itu, setiap pilihan yang kita buat perlu dipertimbangkan secara mendalam, kerana keputusannya hadir bersama risiko.

Dalam Islam kita diajar agar sentiasa bertindak setelah berfikir secara mendalam dan menyenaraikan kemungkinan-kemungkinan yang boleh kita dapat setelah keputusan itu dibuat. Jika kita pilih A maka kita akan melepaskan B. Katakan A itu adalah pesona dunia, kita akan menjauhkan B (akhirat). Itulah yang dimaksudkan oleh Hasan al-Basri dalam untaian kata-kata bijaknya. Jika kita terlalu inginkan dunia, kita akan melupakan Tuhan bahkan menganggap Tuhan itu sebagai "musuh".

Kenapa Tuhan dianggap sebagai "musuh". Sebabnya, Tuhan melarang dan akan menghukum apa yang kita lakukan yang dikategorikan sebagai salah. Hukumannya adalah dosa, dan mereka yang dosanya lebih besar daripada pahala (imbuhan kebaikan), tempatnya adalah di neraka. Sebab itu para ulama yang zuhud, yang berusaha menjinakkan jiwa manusia daripada "nafsu syahwat" mengibaratkan kehidupan di dunia penuh dengan pesona sebagai "tanah tempat bercucuk tanam". Ertinya, jika kita menanam padi, lalang juga boleh tumbuh. Tetapi, jika menanam lalang, padi tidak akan tumbuh.

Padi adalah sumber makanan sebahagian daripada kita, manakala lalang adalah sejenis tumbuh-tumbuhan yang boleh merosakkan kesuburan anak padi. Anak padi boleh jadi layu, kerana nutrisi yang ada di lahan tersebut dimakan oleh lalang. Oleh itu, untuk mendapatkan hasil padi yang baik, kita wajib membersihkan lalang. Dalam dunia sufi, membersihkan lalang bererti membersihkan hati.

Padi yang kita hasilkan itu memberi faedah untuk kehidupan. Kita boleh menghasilkan tenaga yang kita perlukan, kerana setelah dijadikan beras dan ditanak menjadi nasi, padi itu menjadi sumber karbohidrat yang akan bertukar menjadi tenaga setelah melalui proses penghadaman yang panjang. Jika padi yang lebih itu kita jual, ia boleh menghasilkan pendapatan, atau wang. Wang itu boleh kita gunakan untuk membeli pelbagai keperluan seadanya.

Suatu waktu dahulu, wang belum muncul, tetapi sudah ada sistem pertukaran barang yang kita kenali sebagai "barter trade". Manusia, sebagai makhluk yang berfikir dan kreatif, sentiasa berusaha untuk memudahkan urusan kehidupan dan salah satu ciptaannya ialah wang.

Lama kelamaan, wang semakin menjadi keperluan tetapi setelah bergelut dengan "kehendak yang tidak terbatas", wang menjadi buruan yang tidak pernah berhenti dicari. Dalam pencarian dan perburuan itulah manusia semakin hilang daya kendali, dan mula memikirkan pelbagai cara untuk mendapatkannya. Ada cara halal dan tidak kurang cara tidak halal, kerana wang semakin dijadikan ukuran dalam kehidupan.

Antara cara tidak halal ialah dengan menipu orang lain melalui janji-janji lunak dan menggiurkan. Bayangkan, jika anda melabur RM 300, dalam tempoh seminggu wang itu akan berganda menjadi RM 10,000. Ajaibnya formula perniagaan yang mereka cuba yakinkan, pelabur hanya sebagai pelabur pasif. Tidak tahu ke manakah wang itu dilaburkan. Tetapi, yang diharapkan ialah keuntungan dalam jangka pendek.

Akhirnya, ramai yang terperangkap. Kita terperangkap kerana tidak mendapat dividen menepati masa yang dijanjikan. Bahkan deposit yang dibuat tidak diketahui jejaknya. Malang sekali, mereka yang mengusahakan pelaburan itu cukup fasih memberikan "motivasi", bahasa yang cukup memikat, walhal kepastian tidak terjamin.

Rugilah para pelabur, tetapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Wang simpanan habis, bahkan ada yang berhutang untuk melabur. Institusi kewangan yang memberikan pinjaman peribadi mula menagih bayaran balik, maka jika ada aset, aset itu terpaksa dicairkan demi mempertahankan diri agar tidak dikategorikan sebagai "bankrap" atau "muflis".

Ia berbeza dengan ketegaran prinsip kehidupan yang dipilih oleh para sufi. Mereka tidak melihat "pesona dunia" itu sebagai sebuah kisah perburuan yang menguntungkan. Sebaliknya, mereka seboleh-bolehnya cuba mengelak, hanya mengambil sekadar yang diperlukan. Cukup sederhana sekali.

Mereka juga menolak sebarang tawaran yang menggiurkan dari seseorang, kerana mereka sedar, ada udang di sebalik batu. Ada perangkap yang dipasang, kerana seseorang itu mahu jadikan dirinya kaya dan kekayaan itulah yang akan dilihat sebagai cukup berkuasa (bahasa lazimnya, powerful). Kekayaan boleh membeli atau meruntuhkan sesuatu, termasuklah harga diri dan peradaban.

Peradaban, menurut para ahli berasal dari istilah adab. Adab membawa maksud, ada adabnya, dan ada kaedahnya yang terbaik. Ada nilai luhur, dan ada destinasi yang ingin diraih. Destinasi itu adalah "keamanan". Keamanan itulah akan membentuk kesejahteraan. Islam adalah agama sejahtera, maka Islam hadir dengan pedoman akhlak. Akhlak itulah membentuk adab.

Kata Syed Muhammad Naguib al-Attas, Islam adalah ad-din, bukan hanya sekadar agama menurut istilah Barat. Bagi masyarakat Barat, agama itu hanyalah sebagai kepercayaan, yang tidak bersandarkan secara kukuh dengan kehadiran Allah SWT dan perintah-perintah-Nya.

Sebagai agama wahyu, istilah Islam sebagai ad-din merangkumi empat makna: (1) keadaan berhutang; (2) keadaan takluk mengerahkan diri; (3) kuasa dan daya menghukum, atau daya kuasa memberi hukuman, nilaian, dan pertimbangan; (4) bawaan kecenderungan yang sedia ada pada diri insan, atau kebiasaan yang menjadi adat-resam.

Kerana itu, ia "membawa ma'na serta pengertian yang merangkumi keimanan, kepercayaan, amalan dan ajaran dan anutan yang dihidupi oleh Kaum Muslimin, baikpun secara bersendirian mahupun secara berkumpulan bergabung menjadi Kaum dan Umat, dan menjelmakan hakikatnya sebagai Agama yang digelar Islam." ("Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak", dalam Himpunan Risalah, K.Lumpur: IBFIM-CASIS, 2015, hal.233).

Mengapa manusia dianggap berada dalam "keadaan berhutang"?. Dengan siapa manusia berhutang? Bagaimana manusia berusaha untuk melunaskan hutang-hutang itu? Manusia berada dalam keadaan berhutang kerana manusia dicipta berdasarkan ihsan Allah dan diberikan kehidupan juga dengan rahmat-Nya. Manusia berhutang dengan Allah SWT dan kerana terikat dengan hutang itu, manusia mesti tunduk kepada-Nya.

Tunduk kepada-Nya bererti melakukan tanpa kecuali apa yang disuruh atau diperintahkan-Nya, juga apa yang dilarang-Nya. Bahkan, setiap apa yang dilakukan akan diberikan ganjaran, dalam bentuk pahala atau dosa. Semuanya akan dinilai tatkala diadili di Alam Barzah, kadangkala dihadirkan dalam bentuk karma di dunia (ketika hidup).

Siapakah yang akan menentukan hukumannya? Allah SWT, bukan manusia, bukan para hakim mahupun para penguasa. Kalaupun ada hukum yang dikenakan oleh para penguasa, yang disifatkan sebagai karma, ia adalah lebih ringan daripada apa yang akan dihukum di akhirat. Ada yang terlepas, namun di sisi Allah SWT, tidak ada yang terlepas kecualilah mereka yang bertaubat sebelum dirinya meninggal.

Tetapi, taubat itu hanya diterima oleh Allah SWT jika kesalahannya adalah kesalahan dengan Tuhan. Kesalahan dengan manusia, hanya akan terlepas jika manusia yang dizalimi itu sedia memaafkan. Maka, jika seseorang itu menipu seseorang, maka dia belum lagi boleh dianggap "bersih" selagi mangsa tidak memaafkan biarpun telah dihukum oleh peraturan yang ada dan dikuatkuasakan oleh penguasa.

Soalnya, ada juga manusia sanggup menipu atau mengkhianati sesama manusia (sahabat, ahli keluarga, ketua dan subordinat, individu dan organisasi), kerana terpesona dengan gemerlap dunia. Keterpesonaan itu menyebabkan manusia tamak, haloba, iri dan adu domba dalam bahasa seduktif atau memukau seperti sihir dan pukau. Bahkan, keterpesonaan juga menyebabkan ada orang sanggup menipu Tuhan, walaupun Allah SWT tahu apa yang setiap orang lakukan, dan malaikat mencatat kesemuanya.

Islam membenarkan penganutnya memilih kesemuanya, dunia dan akhirat, tetapi tidak mengutamakan dunia sehingga lupakan akhirat. Sebab itulah dunia dianggap fana (sementara) kerana sampai waktunya akan hancur. Akhirat kekal selama-lamanya, destinasi abadi yang penuh pesona dan kenikmatan yang berkekalan. Islam juga tidak menyuruh manusia meninggalkan kehidupannya di dunia hanya kerana Akhirat.

Dunia dan Akhirat perlu diseimbangkan, kerana Dunia adalah persinggahan untuk menuju Akhirat. Dunia menjadi tempat kita mencari bekal untuk ke Akhirat kerana di Akhirat kita tidak lagi berpeluang untuk menyiapkan bekalnya.

Beritahu Asma' binti Umais al-Khats'amiyah:

Sejelek-jelek orang adalah orang yang sombong, berlebih-lebihan dan melupakan Allah Yang Maha Besar dan lagi Maha Tinggi;

Sejelek-jelek manusia adalah mereka yang takbir, lepas kendali dan melupakan Allah Yang Maha Perkasa dan Maha Tinggi;

Sejelek-jelek manusia ialah orang yang melupakan kubur dan malapetaka;

Sejelek-jelek manusia ialah yang kurang ajar, melacur dan lupa akan asal dan kembalinya;

Sejelek-jelek manusia adalah memilih dunia daripada agama;

Sejelek-jelek manusia adalah yang menyulap dunia dengan perkara syubhat;

Sejelek-jelek manusia adalah mereka yang rakus, yang kerakusannya membawa dirinya ke neraka;

Sejelek-jelek manusia ialah yang menurut kehendak nafsunya; dan

Sejelek-jelek manusia adalah mereka yang ingkar dari kebenaran."

(Ibnu Mahali Abdullah Umar, Perjalanan Rohani Kaum Sufi, hal.200).

Wallahua’lam.

KAMARUN KH

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com