MABUK KUASA DAN "GILA KUASA?"
Tulisan EXCO Pemuda Amanah, Ahmad Fadhli Umar yang membawa naratif salah berlakunya PRN Sabah pada tahun 2020 adalah jelas satu bentuk "penggelapan sejarah" yang cuba dikembangkan berdasarkan perspektif politik "mabuk kuasa" dengan melihat hubungannya dengan apa yang berlaku di Negeri Sembilan. (Baca:https://www.facebook.com/share/p/1UHBxxn89n/).
Kalau dalam istilah budaya kewartawanan era internet dan digital, kita mungkin akan bersetuju dengan istilah churnalism yang dibincangkan oleh Nick Davies, seorang wartawan veteran dalam bukunya The Flat Earth News (2007) dengan mengatakan kronologi fakta dipilih berdasarkan kepentingan sebuah penulisan yang berpijak kepada kesimpulan yang dibuat lebih awal, yakni mendokong persepsi politik sendiri.
Secara mudah, churnalism membawa maksud, seseorang wartawan atau penulis hanya memilih fakta atau maklumat yang condong kepada kesendengan pemikirannya yang kadangkala bertujuan menimbulkan "falsehood", atau jungkir balik (distortion) terhadap sesuatu peristiwa atau fenomena. Ia merupakan satu bentuk propaganda atau dakyah yang kini dipanggil "post-truth" dan sangat terpesong dengan kebenaran. Kebenaran yang ingin disampaikan ialah kebenaran berdasarkan persepsi.
Menurut Ahmad Fadhli, punca berlakunya PRN Sabah (2020) adalah kerana UMNO/BN "mabuk kuasa". Ia bermula apabila Tan Sri Musa Aman mengumpulkan semula penyokong-penyokongnya untuk mendesak Shafie Afdal meletakkan jawatan. Shafie akhirnya mengambil keputusan yang lebih besar, memohon untuk membubarkan DUN Sabah, dan permohonan itu mendapat persetujuan TYT. Maka berlakulah PRN Sabah pada bulan Oktober 2020.
Ketika itu, negara sudah berada dalam epidemik COVID-19, tetapi situasinya dilihat masih boleh dikawal. Negara belum lagi diisytiharkan darurat, sebaliknya sudah dilonggarkan beberapa syarat yang mengikat pergerakan (PKP) yang dimulakan bulan Mac 2020, ketika kerajaan pusat dipimpin oleh Muhyiddin Yassin. Selepas PRN Sabah, COVID-19 benar-benar menggila dan Muhyiddin akhirnya dapat menangguhkan "kemarahan rakyat" apabila Darurat diisytiharkan (13 Januari 2021) untuk tempoh selama enam bulan.
Proklamasi Darurat itulah juga menjadi Muhyiddin semakin tidak boleh tidur malam dan permainan golf kesayangannya terpaksa dilupakan; jumlah pesakit bertambah, tekanan paramedik memuncak, keperluan rawatan mencemaskan, dan tekanan politik cukup menyeksakan. Rakyat terus tertekan: pola bunuh diri meningkat, ketiadaan bahan makanan menyeksakan.
Di situlah bermulanya kempen kibarkan bendera putih sebagai tanda memerlukan bantuan. Namun, ada beberapa ahli politik mula menyindir kempen tersebut, dan menganggapnya sebagai "tidak ada rasa malu". Sayangnya, pemimpin yang berkata sinis itu adalah dari PAS. Muhyiddin juga dilihat gagal membendungnya, jumlah kes terus meningkat, kematian terus mencanak sehingga diperlukan bilik penyimpanan mayat tambahan. Kegagalan itu membawa kepada malapetaka besar buat PN dan Muhyiddin didesak meletakkan jawatan, kempen kibarkan bendera hitam menjadi simbol kemarahan.
Tidak jauh sebelum itu, dua tahun lebih awal diadakan PRU 14 di mana UMNO/BN secara mutlaknya hilang kuasa di peringkat pusat dan Sabah turut menerima tempiasnya. Ketika keputusan itu diumumkan, kedudukan UMNO/BN di Sabah dilihat mampu membentuk kerajaan dan Tan Sri Musa Aman bergegas untuk mengangkat sumpah semula sebagai Ketua Menteri. Namun, Shafie Afdal yang memimpin Parti Warisan juga mengumpulkan wakil-wakil rakyat untuk menggenapkan syarat bagi membolehkan dirinya dilantik sebagai Ketua Menteri.
Itu sejarahnya. Saya mengambil sejarah pada tahun 2018 dan sebelumnya (2008), bukan sejarah pada tahun 2020 sebagai "titik tolak perbincangan" walaupun semua orang tahu, ketidakstabilan politik Malaysia sebenarnya sudah bermula pada tahun 2008, yakni selepas UMNO/BN hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat'.
Tahun 2008 mula dimomokkan sebagai "kemenangan UMNO/BN' sebagai satu keputusan yang "menipu", bukan satu bentuk pilihan raya yang adil. Ketika itu, Amanah belum muncul sebagai sebuah parti, di mana pemimpin-pemimpinnya masih dalam "rahim PAS".
PAS ketika itu masih "berselimut bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat'", dan seterusnya berlakulah episod mendakwa kemenangan UMNO/BN dengan "dakyah" keterlaluan. Macam-macam: ada, termasuk kisah "black-out" ketika proses pengiraan undi. Kemudian muncul pula pelbagai protes; unggun api dan juga "duduk bantah" bersama A Samad Said, serta memijak gambar pemimpin dan sebagainya.
Tentunya, rakyat Malaysia masih ingat bagaimana gerakan Road to Putrajaya dicetuskan apabila Anwar Ibrahim mencalonkan semula dirinya untuk bertanding di Permatang Pauh. Ketika itu, beliau sudahpun dibebaskan daripada segala bentuk sekatan aktif berpolitik, sedangkan ketika PRU 12 (8 Mac 2008) diadakan, edahnya belum tamat.
Selepas edah berpantang tamat, diadakan satu perhimpunan "pembebasan” di Kg Baharu, yang disifatkan sebagai satu petunjuk bahawa parti-parti pembangkang bergerak ke arah menjatuhkan UMNO/BN. Ia berlaku disebabkan parti-parti pembangkang mula berfikir bahawa masanya sudah tiba bagi menukarkan kerajaan. UMNO/BN tidak lagi mempunyai kuasa dua pertiga dan empat buah negeri dikuasai parti pembangkang.
Keputusan PRU 12 itu dikatakan berlaku "Peralihan Tektonik/ Tectonic Shift", walaupun belum mampu menukarkan kerajaan. Moral parti-parti pembangkang semakin berkobar-kobar apabila Anwar bebas daripada sekatan aktif berpolitik. (Johan Saravanamuttu, "A Tectonic Shift in Malaysian Politics", dalam, Ooi Kee Beng, Johan Saravanamuttu dan Lee Hock Guan, March 8: Eclipsing May 13, Singapura: ISEAS Publishing, 2008).
Macam-macam label buruk diberikan kepada UMNO/BN termasuklah percubaan menjatuhkan kepimpinan Najib sebagai PM selepas peletakan jawatan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ingatkah bagaimana Anwar membentuk slogan dalam kempen PRK Permatang Pauh, setelah berjaya mendesak isterinya, Dr Wan Azizah menyerahkan kerusi tersebut? Najib terus dikaitkan dengan pembunuhan seorang model Mongolia, Altantunya Shaaribu.
Apabila Anwar berjaya, maka bermulalah episod yang lebih keras untuk menjatuhkan kerajaan UMNO/BN dengan pelbagai strategi 'politik kebencian’. Ditetapkan pada 16 September 2008, kerajaan akan bertukar. Malangnya, sampai pada tarikh itu, kerajaan tidak bertukar. Maka, direncanakan pula percubaan menghidupkan PRK setiap bulan.
Tentunya ramai masih ingat dalam PRK DUN Penanti, BN enggan meletakkan calon atas alasan, PRK itu tidak sepatutnya berlaku. Ia hanyalah sekadar untuk menukarkan wakil rakyat. Anwar mahukan Dr Mansor Othman dan penyandangnya perlu dipecat. Dr Mansor Othman merupakan calon "stand-by" bagi PRK Permatang Pauh, seandainya pencalonan Anwar ditolak.
Gerakan-gerakan "menjatuhkan kuasa" menjadi sesuatu yang cukup membingungkan rakyat Malaysia sehingga sebahagian rakyat mula merasa bosan dan meletakkan Anwar dalam situasi "tertekan". Kemudian, dicetuskan pula Langkah Kajang bagi mengambil semangat kemenangan Erdogan dan Jokowi. Erdogan bermula dengan kejayaan meraih sokongan di Istanbul dan Jokowi di Solo dan kemudian menang sebagai gabenor Jakarta.
Apakah episod yang berlaku selepas perhimpunan Kg Baru pada 14 April 2008?. PRK Permatang Pauh, 26 Ogos 2008, Perhimpunan di Petaling Jaya, dan pelbagai lagi percubaan menjatuhkan UMNO/BN. Apakah "kemaruk untuk mendapatkan kuasa" itu tidak boleh dianggap sebagai "mabuk?".
Kalau dilihat dari senario tersebut, apakah itu tidak boleh dianggap "mabuk kuasa"? Biasanya, istilah "mabuk kuasa" dirujuk kepada orang yang berkuasa, tetapi di Malaysia ia berpindah kepada Gelombang Anwar (Reformasi). Anwar menjadi fenomena "ketidakstabilan politik" yang akhirnya, memaksa Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan pada bulan April 2009.
Saya masih ingat, akibat kegagalan itu ada yang menyindir bahawa upacara mengangkat sumpah jawatan memang berlaku, tetapi di hadapan potret Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Ada juga karikatur tangan dan kaki diikat di katil sebuah wad sakit mental. Juga kisah perburuan wakil rakyat BN ke Taiwan yang gagal.
Ada juga dakwaan, jika wakil rakyat BN menyerang, mereka akan diberikan wang sebanyak RM100 juta seorang. Malangnya, wang dengan janjikan itu tidak ada (penaja enggan, jumlahnya cukup besar, iaitu untuk 31/32 orang memerlukan lebih RM 3 bilion). Kecundanglah Anwar. Dalam politik, tidak ada istilah malu, sebab itulah orang politik dikatakan "muka tebal", walaupun tindakan yang dilakukan cukup "bebal".
Sebelumnya, berlaku "keruntuhan kerajaan Pakatan Rakyat'" di Perak (Februari 2009), ekoran dua wakil rakyat PKR dan seorang wakil rakyat DAP tidak lagi menyokong MB Perak, Nizar Jamaludin. Rentetan gelora politik itu membawa kepada perubahan pucuk pimpinan, UMNO/BN kembali mendapat kuasa di Perak. Kerajaan UMNO/BN yang mendapat sokongan 27 wakil rakyat akhirnya berjaya dibentuk pada 4 Februari 2009.
Akibatnya, beberapa bulan DUN Perak tidak dapat bersidang. Berlaku pula "wakil rakyat sarkas" dalam upacara perasmian Sidang DUN, keengganan menyerahkan cokmar, Sidang Wakil Rakyat (DUN) di bawah pokok ketapang dan kemudian dipindahkan ke hotel, serta cabar mencabar terhadap keabsahan "budi bicara Paduka Sultan Perak". Bagaimanapun, cabaran undang-undang itu ditolak oleh mahkamah kerana Paduka Sultan Perak menggunakan kuasa budi bicara sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Bagaimanapun, sehingga tahun 2020, yakni sebelum PRU ke-15, Anwar tetap digelar sebagai "PM Ikat Tepi", istilah yang digunakan oleh Muhyiddin Yassin. Ikat Tepi merujuk kepada istilah kegemaran rakyat Malaysia membeli minuman dalam plastik, yang kemudiannya diikat di bahagian tepi plastik berkenaan. Muhyiddin turut berkata, sebagai membalas cabaran Anwar yang berjuang sejak tahun 1998 untuk menjadi PM, dirinya adalah lebih baik kerana sudah pun jadi PM, walaupun untuk tempoh 17 bulan.
Anwar hanya berjaya menjadi PM setelah mendapat sokongan BN, GPS dan GRS. Atas kapasiti partinya, ia dilihat tidak berupaya, hanya ada 31 kerusi. Ia menjadi sedikit kuat apabila mendapat sokongan DAP dan Amanah yang bekerjasama membentuk Pakatan Rakyat. Sebab itu kedudukan Anwar dilihat tidak cukup kuat walaupun disokong oleh lebih dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
Anwar akan tempang sekiranya DAP menarik diri, kerana itulah bentengnya yang sangat diharapkan. BN ada 30, jika ambil keputusan menolak, Anwar masih boleh terus berkuasa, melepasi majoriti mudah (112 sokongan wakil rakyat). Amanah akan terhegeh-hegeh jika PH tumbang sekali lagi, dan Anwar akan kembali berkelana semula.
Kata wakil rakyat Pasir Gudang, Johor sekarang ini PKR cukup tenat: "Aku melihat PKR sekarang, cedera, luka dan parah. Banyak darah yang keluar. Jika tidak dirawat, boleh jadi lumpuh, jika pun tidak, mati." Hassan Karim adalah bekas Pengerusi PKR Johor, masih wakil rakyat PKR, tetapi sudah membuat pengisytiharan tidak akan bertanding dalam PRU 16. Tentunya beliau cukup kecewa dengan kaedah politik dalam parti yang difokongnya.
Ertinya, ketidakstabilan politik Malaysia sebenarnya sudah bermula pada tahun 2008, tetapi di Sabah ia adalah lebih awal, sekurang-kurangnya apabila kita meninjau sejarah pada tahun 1985. Parti Berjaya yang dipimpin oleh Haris Saleh ditewaskan oleh PBS yang dipimpin oleh Pairin Kitingan. Kemudian, Mahathir mencari solusi untuk merampas semula Sabah dengan membawa masuk UMNO dan bersedia menyerapkan USNO ke dalam BN.
Kemudian, diperkenalkan pula penggiliran jawatan Ketua Menteri, yakni untuk tempoh selama dua tahun. Ia menjadi satu bentuk solusi jangka pendek. Konsep penggiliran itu tidak lagi diterimapakai, dikembalikan sehingga cukup sepenggal atau selama tempoh selagi mendapat sokongan majoriti.
Tahun 2018 berlaku "exodus" wakil rakyat UMNO/BN yang bermula di Sabah setelah UMNO/BN hilang kuasa. Ia kemudian membawa kepada perubahan kuasa yang ada pada UMNO/BN, sebahagian daripada "katak politik" itu menyertai Bersatu. Ia kemudian menimbulkan rasa tidak puas hati PKR dan DAP, maka akhirnya membawa kepada reaksi balas oleh Anwar apabila Mahathir menyertai sebuah perhimpunan atau wacana tentang orang Melayu, yang dianjurkan oleh gandingan tenaga akademik Universiti Malaya dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Apabila berlakunya Langkah Sheraton, PH kehilangan kuasa dan Bersatu semakin dipenuhi dengan "katak politik". Menurut rumusan Presiden Putera, Ibrahim Ali, kalau nak lihat semuanya "katak", maka lihatlah Bersatu, di dalamnya semua "katak". Beliau sebelumnya pernah digelar "katak" kerana beberapa kali bertukar parti, tetapi, "Istana Katak" sebenarnya sudah berpindah kepada Bersatu.
Menurut Ahmad Fadhli, suasana "gila kuasa" membawa kepada ekstasi atau mabuk. Tentunya, kemabukan itu ditujukan kepada keinginan untuk mendapatkan kuasa. Biasanya, orang yang ketara mabuk ialah orang yang baharu belajar "minum" dan bagi mereka yang pernah beberapa kali "minum" keadaan mabuknya tidaklah sehebat orang yang pertama kali "minum".
Jadi, andaian Ahmad Fadhli sebenarnya ikut membawa makna "keghairahan Bersatu" untuk mengekalkan kuasa yang sedikit telahpun dirasai. Bersatu masih ketagihan, tetapi ia juga sedang "huru-hara".
Politik, secara definisinya cukup berkait dengan kuasa, dan kerana itu tidak akan ditubuhkan mana-mana parti politik jika tidak inginkan "kuasa". Amanah juga ditubuhkan untuk mendapatkan kuasa walaupun hanya sedikit. Amanah terpaksa bekerja keras bagi menonjolkan diri.
Sebabnya, Amanah adalah parti serpihan yang cuba mencabar PAS. PAS sudah lebih tujuh dekad bergelumang dengan pelbagai tafsiran, asakan gelora politik termasuk menghasilkan serpihan Berjasa, Hamim, AKIM (Angkatan Keadilan Insan Malaysia (1995) dan Disember 2010 dinamakan sebagai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air atau KITA) dan Amanah.
Sebab itulah Amanah bergabung dalam Pakatan Harapan, tanpa ada kerjasama dengan parti lain. Amanah mungkin menjadi sebuah parti yang tidak memiliki apa-apa kuasa. Ini sudah terbukti apabila Amanah mula berada dalam kerajaan, sama ada sebagai Menteri atau Timbalan Menteri, memiliki sedikit kuasa.
Mohamad Sabu boleh rasa "naik helikopter" dan masuk mesyuarat penting di dalam dan luar negara. Kalau tidak beliau terus kekal sebagai "perucap buka panggung" dan makin banyak mikrofon akan dilempar ke dinding.
Jadi, untuk Amanah berada di puncak kuasa, Amanah juga perlu mencari jalan bagaimana untuk "perluaskan kuasa" sehingga dilihat cukup berkuasa. Buat masa ini, Amanah tidak berupaya melakukannya kerana parti itu lahir bukan atas kesedaran sebenar, ia lahir atas sifat balas dendam dan kecewa. Amanah kurang mendapat sambutan, dan kerana itu perlu bertenggek dalam naungan parti-parti yang lebih besar dan berpengaruh.
Amanah lahir kerana pemimpinnya telah dikecewakan oleh penyokong PAS yang mahu kembalikan parti itu dalam lingkaran kepimpinan ulama. Ketika itu ia dikatakan telah dipengaruhi oleh "parasit dan Anwarinas" (pinjam istilah bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Hasan Ali).
Golongan profesional menerima tempelak yang cukup "hina" sehingga Presiden PAS sendiri memberi kritikan "tidak tahu spesies dari mana". Beliau berkata demikian ketika munculnya krisis dalam kerajaan Kedah yang dipimpin oleh Ustaz Azizan Abdul Razak.
Ingatkah Ahmad Fadhli kepada krisis politik di Kedah yang kemudiannya membawa kepada kejatuhan Pakatan Rakyat pada PRU 13? Ingatkah bagaimana muktamar PAS membuat pemilihan sehingga Mohd Sabu tewas kepada Tuan Ibrahim Tuan Man dalam cabaran mengekalkan jawatan Timbalan Presiden PAS? Ingatkah Ahmad Fadhli kepada hasrat Amanah sendiri untuk menjadi parti alternatif kepada PAS? Apakah semuanya itu tidak bermakna mahukan kuasa? Bukankah itu sebahagian dari budaya oportunis, jika dilihat daripada sudut psikologi?
Siapa pun yang menyertai dan menggerakkan parti akan dilihat berjaya sekiranya mampu meraih pengaruh. Mereka yang hanya asyik berpolitik tetapi pengaruhnya tidak ada boleh diibaratkan sebagai "syok sendiri", maka persoalan "mabuk kuasa" yang cuba didramatisasikan ke atas UMNO/BN di Negeri Sembilan adalah tidak boleh dijadikan kesimpulan yang tepat.
Ini kerana MB Negeri Sembilan gagal mengatasi krisis yang membabitkan adat tubuh negeri yang bersendikan Adat Perpatih itu. Krisis itu telah membawa kepada terjejasnya reputasi PH sebagai peneraju kerajaan Negeri Sembilan dan ia merupakan peluang untuk lain-lain parti mengambil peluang. Ia seumpama nelayan mencari ikan di laut, akan dilabuhkan pukatnya apabila bertemu dengan kawanan ikan. Nelayan itu akan dianggap bodoh sekiranya tidak melabuhkan pukat di situ, tetapi memilih untuk memukat di kawasan yang tidak mempunyai petunjuk banyak ikan.
Begitulah juga politik bila mana melihat ada peluang untuk melunaskan hajatnya iaitu mendapat kuasa. UMNO/BN menarik sokongan kerana melihat MB Negeri' Sembilan tidak mampu menyelesaikan kemelut, bahkan gagal meyakinkan empat undang yang kemudiannya mengambil keputusan mengisytiharkan Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan dilucutkan jawatan. Ia hanya bermula dengan krisis seorang Undang Luak (Sungai Ujong) sehingga berlaku beberapa orang calon yang bangkit mengisytiharkan dirinya yang layak sebagai pengganti.
Rakyat melihat MB Negeri Sembilan telah gagal dan kemelut itu. Ia sengaja "disembunyikan" atau didakwa cuba menutupinya dengan menuduh UMNO/BN mabuk kuasa bila menarik sokongan. MB dianggap mempunyai plot untuk menghakis kuasa Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dan juga Adat Perpatih.
Atas sebab itulah apabila Anwar Ibrahim berkata akan terus mengiktiraf Tuanku Mukhriz sebagai Yang di Pertuan Besar, empat orang undang mahukan "Kuasa Adat" yang ada pada mereka dihormati, menerima pemasyhuran pengganti yang sudah diisytiharkan (Tunku Nazadruddin Tuanku Jaafar) di sebuah hotel di Melaka.
Percubaan untuk menghalang beliau ke Istana Menanti oleh pihak berkuasa dilihat sebagai pelanggaran yang tidak boleh dimaafkan, kerana kuasa melantik Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah hak DKU, bukan kuasa Perdana Menteri atau MB. Situasi tersebut memperlihatkan percubaan campur tangan, dan ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap PH. Jika PRN Negeri Sembilan berlangsung dalam tempoh ini, tentulah isu campur tangan politik akan menjadi ‘tornado' yang boleh melemaskan PH terutama PKR. DAP juga akan dilihat cuba campur tangan kerana kata-kata Anthony Loke seperti ada maksud mendesak: Kalau DUN Johor dibubarkan, saya akan bubarkan DUN Negeri Sembilan."
Kilas politik akan membenarkan bahawa PH memang berada dalam telunjuk DAP, PKR hanya akan untuk menyempurnakan maksud DAP. Tuduhan begitu sudah pun ada..ia akan menjadi lebih sukar kerana dalam ghairah, Setiausaha Agung DAp membocorkan rahsia termasuk keberanian Anwar selesaikan UEC. Walaupun diterangkan bukan sebagai pengiktirafan, ia hanya sebagai sebahagian pertimbangan kemasukan ke universiti awam, ia sedang membakar emosi pengundi Melayu dan pejuang Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Sabah senarionya berbeza. Shafie pernah menghalang Musa Aman daripada menjangkau sumpah, kemudian beliau dihadapkan dengan dakwaan rasuah dan salah laku kuasa. Setelah hampir dua tahun proses pendakwaan dilakukan, Musa Aman kemudiannya dibebaskan. Pembebasan itu menjadi "bayangan kelam" buat Shafie Afdal, kerana Musa Aman mengumpulkan semula penyokongnya.
Tentunya, ada faktor lain yang mempercepatkan proses itu. Kita juga lihat dalam suasana sedemikian, Bersatu pula sedang mencari ruang untuk mendapat kuasa sebagai parti yang menguasai Sabah, maka di situlah kemelut menjadi lebih besar. Kita perlu ingat ketika itu, di peringkat pusat, Muhyiddin adalah Perdana Menteri, dan Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Bersatu cukup ligat memainkan peranannya untuk mencaturkan PRN, yakni meraih kuasa.
Bersatu cukup ghairah untuk mengembangkan sayapnya, bahkan di Semenanjung, Bersatu memadamkan hasratnya "membunuh UMNO/BN" kerana parti itu melihat selagi UMNO/BN "tidak mati", Bersatu tidak mampu muncul sebagai parti orang Melayu yang besar. UMNO/BN tidak berjaya "dimatikan" walaupun beberapa kali cuba ditalkinkan. UMNO ikut sama berada dalam kabinet Perikatan Nasional. Hal itu menjadi ramai menilai bagaimana Bersatu membahagikan kuasa, yakni sebelum terdesak untuk melantik Ismail Sabri Yaacob sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Bersatu masih ada rancangan halus untuk "membunuh UMNO" walaupun Muhyiddin cuba menafikannya. Menurut Presiden PAS, percubaannya untuk memperluaskan PN gagal kerana Bersatu tidak boleh menerima UMNO/BN, tetapi tidak pula bercakap mengenai "pelawaan" untuk membawa masuk Amanah. Ini bermakna, PAS berusaha menggunakan UMNO/BN untuk melumpuhkan Bersatu dari dalam PN jika UMNO/BN menyertainya.
Setelah berlaku krisis, PAS mula membuka "pekong" Bersatu. Antaranya, lebih ramai calon daripada pekerja parti, dan paling "legend" ialah cara Muhyiddin mengendalikan PN, berdasarkan keputusan sendiri tanpa bermesyuarat dengan PAS. Isunya bermula apabila Bersatu mendakwa menaja belanja pilihan raya, termasuk menaja kempen PAS.
PAS pula membidas, Bersatu sengaja mencari sebab untuk kenakan PAS dengan menggambarkan PAS ‘khianat'. Walhal, apa yang berlaku di Perlis, Bersatulah yang melakukan pengkhianatan dengan mendakwa MB PAS tidak kompeten dan akhirnya mempengaruhi wakil rakyat PAS untuk menyokong penarikan sokongan.
Di Negeri Sembilan, PAS kecewa apabila Bersatu menarik balik kenyataan tidak menyokong MB, sedangkan PAS masih kekal dengan keputusan tersebut. Ini bermakna semakin lama semakin tidak sehaluan antara PAS dan Bersatu makin menjurus kepada perbalahan terbuka.
Perbalahan itu bagaimanapun belum memuktamadkan kerjasama dalam PN, tetapi ia bergantung kepada sikap dan pendirian Muhyiddin berhubung dengan PRN Johor. PAS pula dilaporkan sudah bertemu dengan UMNO/BN bagi menjalin kerjasama dalam PRN Johor walaupun awalnya UMNO/BN menyatakan pendirian bertanding solo sudah dimuktamadkan.
Itu adalah muktamad yang tidak benar-benar muktamad, seperti muktamadnya sebuah "akad nikah" dan kemudian bercerai setelah merasakan ada masalah dalam kehidupan rumah tangga. Andaian ini mungkin kerana saya terpengaruh dengan sejarah PAS sendiri yang tidak pernah lama dalam sesuatu bentuk kerjasama.
Dengan BN hanya sekadar tiga tahun (1974-1977), dengan Pakatan Rakyat kurang lapan tahun (2007-2016), Gagasan Sejahtera kurang setahun (2018-2019) dan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) selama hampir lapan tahun (1988-1996). Jadi, kerjasama yang melibatkan PAS umpama "kahwin kontrak" yang cukup singkat. Belum ada mencapai kerjasama melebihi 10 tahun. Ia berbeza dengan BN, ia mula mengecil pada tahun 2018, iaitu selepas 44 tahun bekerjasama (1984-2018).
Walaupun sudah mengecil, entiti politik BN masih kekal "bernyawa" walaupun hanya tersenyum jugak gandingan asal sejak tahun 1955 (Perikatan - UMNO, MCA dan MIC). Kini, UMNO/BN dilihat makin mendapat sokongan semula orang Melayu walaupun parti lawan terus memainkan dakyah "Undi UMNO dapat DAP" atau "selak kain UMNO nampak Roket berdiri".
Slogan UMDAP dicipta bagi menggambarkan hubungan akrab, walhal tidak pernah berlaku kerjasama langsung dengan DAP seperti PAS-e-DAP. Hubungan berlaku secara tidak rasmi kerana UMNO/BN menyokong pembentukan kerajaan pusat, sedangkan PAS bersama Bersatu menolak. PAS menolak kerana dalam PH ada DAP yang dimusuhinya selepas berakhirnya Tahaluf Siyasi.
Ertinya tidak ada lagi penyokong PAS membawa bendera roket, meniarap di atas permukaan jalan sambil menegakkan bendera DAP, muslimat berarak melaungkan "undi DAP". Fenomena itu tidak pernah dilakukan oleh jentera kempen UMNO/BN. Video dan gambar-gambar lama dimunculkan kembali, tetapi, penyokong PAS tetap tidak peduli.
Mereka tidak mahu sejarah itu dilihat dan dinilai kerana bagi mereka, sejarah hanya sejarah. Tetapi, bila memperkayakan tentang idealisme politik, pandai pula menggunakan sejarah yang ditafsirkan mengikut sudut pandangnya. Itulah yang berlaku apabila Dr Nik Zawawi mengingatkan Abu Bakar as-Siddik sebagai "ceti" manakala Umar al-Khattab "hobi zina" ketika zaman jahiliyah. Tidak ada bukti dalam periwayatan mengenai tafsiran itu, tetapi yang ada ialah generalisasi sejarah tentang kehidupan dan amalan masyarakat jahiliyah.
Ia bukan sahaja dianggap salah, bahkan cukup menghina sahabat Rasulullah SAW, yang telah pun dilarang dipermalukan sedemikian. Sayangnya, PAS tidak bersedia mengambil tindakan tegas hanya sekadar cukup dengan memohon maaf. Jika perkara yang sama berlaku ke atas musuh-musuh politik, akan gempitalah ekosistem politik negara mendesak dilucutkan jawatan dan didesak berhenti menjadi wakil rakyat. Kenapa tindakan yang sama tidak dilakukan ke atas Dr Nik Zawawi; maknanya, PAS mahu dilihat adil dilaksanakan kepada orang lain, tetapi terus mempertahankan pemimpinnya yang jelas membuat silap. Hipokrasi.
Bahkan ketika Presiden PAS yang mengecam Bersatu tidak pula membenarkan ahli-ahlinya memberikan sebarang komen. Ahli-ahli diminta diam. Itu adalah cara PAS mengawal kerosakan yang dilakukan oleh pemimpinnya sendiri.
Di zaman era pembentukan PN, Bersatu melantik empat orang Menteri Kanan, tetapi yang paling kanan ialah daripada Bersatu. Dua orang Menteri Kanan itu (Azmin Ali dan Dr Radhi Jidin) boleh mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, sekiranya PM tidak berhalangan. Dua lagi Menteri Kanan (Ismail Sabri dan Fadhilah Yusuf) tidak boleh mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri walaupun pada awalnya dikatakan mempunyai "kuasa sama rata". Dua Menteri Kanan bukan dari Bersatu tiada kuasa "sama rata" itu kerana tidak berada dalam parti yang sama: Ismail Sabri daripada UMNO dan Fadhilah daripada PBB (mewakili GPS).
Sayangnya, dua Menteri Kanan dari Bersatu tidak kompeten, hanya asyik berfikir tentang kuasa, tiada perancangan yang boleh dibanggakan untuk kemaslahatan rakyat. Dalam situasi pandemik COVID-19, menteri - menteri dari UMNO dilihat lebih terkedepan dan cukup berprestasi, akhirnya Bersatu terperangkap dalam kelemahan sendiri.
Kenapa hal itu dilakukan sebegitu rupa? Muhyiddin tidak mahu menteri-menteri UMNO menyerlah peranannya, akibatnya akan melindungi reputasi Bersatu yang mahu dilihat kuat dan perkasa. Muhyiddin juga tahu, jika muncul "rasa kecewa" daripada "katak-katak", akan mengulangi Langkah Sheraton.
Sayangnya, Muhyiddin terlupa bahawa sokongan UMNO/BN cukup membawa "kecederaan" sekiranya tidak diberikan "kuasa yang sama". Sebab itulah timbulnya isu menarik sokongan kepada Muhyiddin, dan kata-kata kecewa yang paling awal diluahkan oleh Ahmad Maslan. Ia menjadi semakin menggelisahkan orang awam apabila Muhyiddin mencari kaedah untuk memanjangkan hayat kuasa, dicuba mendapatkan kuasa darurat selepas mendapat tahu ada pertemuan antara Tengku Razaleigh dan Yang di Pertuan Agong, juga asa dakwaan Anwar bahawa "Muhyidin tumbang".
Permohonan pertama gagal, tetapi Muhyiddin tidak berputus asa. Bila COVID-19 semakin menggila setelah munculnya "kluster PRN Sabah", Muhyiddin sekali lagi mahukan proklamasi darurat. Kali ini beliau berjaya, maka bermulalah episod darurat kesihatan selama enam bulan. Sayangnya, Muhyiddin tidak mampu mengawal kemarahan awam, dan ini memberi ruang kepada UMNO/BN menarik sokongan. Sebagai langkah mengawal "depresi politik", Muhyiddin cuba menghulurkan "ubat" dengan melantik Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri
Sayangnya, "ubat" yang diberikan itu menjadi sesuatu yang tidak mengubah pendirian, hanya sekadar "kelegaan sementara", Muhyiddin akhirnya bersetuju menyerahkan kuasa kepada Ismail Sabri. Muhyiddin dan suku sakat "katak" tidak disingkirkan dalam kabinet Keluarga Malaysia, tetapi, pengaruhnya sedikit sebanyak sudah menjunam.
Ya, bagi Ahmad Fadhli mungkin "tidak perasan" bahawa orang yang mabuk kuasa itu sebenarnya orang yang sudah alami "hilang kuasa". Cuba Ahmad Fadli lihat kepada perilaku dan budaya politik PN sebaik sahaja mereka gagal membentuk kerajaan selepas PRU 15. Kerjasama antara mereka sudah membentuk arah persengketaan yang sangat tajam sehingga ada yang meramalkan bakal berantakan. PAS mendakwa dirinya yang paling layak manakala Bersatu pula berhadapan krisis kepercayaan.
Dalam situasi Bersatu yang lemah itulah PAS menyuntik semangat untuk melemahkan rakannya, dengan kata-kata yang hampir sama dengan kisah "perang pasangan" yang sedang berada di ambang penceraian. Seolah-olah antara mereka tidak ada keserasian dan bahasa komunikasinya lebih berbentuk "ancaman verbal" yang menuju kepada keruntuhan.
Kenapa itu berlaku, kerana masing-masing mencari dan mempersendakan masalah, melihat sesuatu kekurangan dan kelemahan sebagai kecurangan. Akhirnya kebaikan dan keseronokan "berbulan madu" menjadi bayangan pernikahan yang ngeri, walhal sudah mereka nyatakan "akan kekal bersama". Apakah PN sedang berada dalam fasa perbuatan kuasa? Ya kerana masing-masing berusaha menjatuhkan. Bersatu jatuhkan PAS di Perlis. Bersatu pula sedang "menikam PAS" dalam episod krisis politik Negeri Sembilan. PAS pula mengendeng semula "bekas tunang" nya yang dilihat semakin cantik dan bergaya.
Itulah yang salah kita lihat perilaku politik PAS sehari dua ini untuk meneroka semula Muafakat Nasional. Di PRN Melaka (November 2021), PAS sekolam dengan Bersatu, kemudian mahu pula sekolam dengan UMNO/BN di PRN Johor (2022). Rakyat Malaysia masih ingat, kenyataan pemimpin PAS walaupun sekolah dengan Bersatu, "kemenangan BN juga kemenangan PAS" kerana Muafakat Nasional belum terkubur.
Dalam PRN Johor empat bulan kemudian (Mac 2022), PAS kembali mengatur langkah untuk bersemenda, tetapi UMNO/BN hanya menawarkan empat kerusi untuk ditandingi. PAS kecewa, lalu muncullah bahasa majaz menghina UMNO/BN seperti "itik patah kaki yang mahu berenang sendiri". Bahasa majaz itu benar-benar dikembalikan kepada PAS apabila hanya mampu menang satu kerusi walaupun bertanding 15 kerusi. Kemenangan itu membawa maksud, PAS tidaklah mempunyai pengaruh yang besar di Johor. Atas realiti itulah PAS kembali untuk mempertautkan semula Muafakat Nasional, dengan harapan boleh menang banyak kerusi bila bergandingan dengan UMNO/BN.
Apakah budaya politik PAS itu tidak boleh dianggap "gila kuasa" ataupun ingin mencapai keadaan "mabuk kuasa?". Ahmad Fadhli sepatutnya melihat secara keseluruhan dan tidak perlulah lah membuat generalisasi bahawa "UMNO/BN mabuk kuasa"; kerana semua parti politik ada kecenderungan itu, termasuklah Amanah.
Kata Mohd Sabu, dia juga "ingin jadi Perdana Menteri. Seronok tuan-tuan...." Apa seronoknya? Seronoknya, kerana jadi PM "ada kuasa"; kalau jadi PM "tidak ada kuasa" tentunya Mujyiddin, Mahathir atau sesiapa pun "tidak ingin". Itulah politik, kerana "kuasa itu tidak dilihat seratus peratus sebagai amanah", ia dianggap sebahagiannya sebagai "pencapaian diri" dalam hirarki motivasi manusia.
Kemuncaknya hanya dicapai oleh beberapa orang dengan sokongan dan dokongan orang ramai. Adalah malang sekali jika ada pemimpin yang "lupa diri" dan seronok dengan kuasa, tetapi "menipu rakyat". Apa pun, akhirnya rakyat akan menghakiminya. Kita tunggu apa hasilnya PRN Johor dan Negeri Sembilan nanti, apakah rakyat menolak "UMNO/BN yang mabuk kuasa" atau rakyat membayar tunai kepada PH mahupun PN. Bukan Ahmad Fadhli boleh berikan jaminan saya juga tidak berkemampuan hanya sekadar berpendapat dan tidak ingin melihat aspek pensejarahan dibentuk seperti churnalism.
Surat beliau yang disiarkan itu sudah membawa kerangka churnalism, yakni mengambil fakta yang diminati untuk dijadikan hujah dan natijah. Ia ibarat sikapnya yang lebih berminat kepada keenakan "gearbox seekor lembu" manakala bahagian-bahagian lain tidak dipandang secara saksama. Orang lain pula sukakan "batang pinang" walhal urat keting juga cukup enak dimakan. Kalau di Rumah Makan Nasi Pasang, harga seketul urat keting yang dimasak kadangkala melampaui harga sekeping daging dendeng.
Itulah sifat dan budaya politik, bercampur dengan sifat-sifat oportunis, narsis dan juga psikopati. Sebabnya, setiap perjuangan politik mahukan kemenangan; setiap kata-kata pemimpinnya ada bentuk memuji kebaikan sendiri dengan merendah-rendahkan orang lain. Kadangkala, ada juga parti politik yang berhadapan dengan kecelaruan psikologi yang dipanggil bipolar, itulah yang banyak berlaku: hari ini berkata tidak, esoknya diperbolehkan.
Sebab itulah dalam politik tidak ada kebenaran mutlak yang ada hanyalah kebenaran sementara (persepsi). Ahmad Fadhli sedang membentuk persepsi kerana beliau mahukan pengundi Johor dan Negeri Sembilan menolak UMNO/BN. Puncanya, kerana UMNO keputusan bertanding solo sudah muktamad.
MONOSIN SOBRI
